fb fb fb fb fb

MAIPs laksana kempen wakaf 50 sen sehari atau RM15 sebulan secara potong gaji

KANGAR, 30 September- Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail mengajak seluruh penjawat awam dan swasta di setiap peringkat perkhidmatan khususnya di negeri Perlis ini untuk turut serta menyertai program berwakaf secara tunai bersama Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs).

Menerusi Kempen Jom Berwakaf 50 Sen Sehari Bersamaan RM15 Sebulan Secara Potongan Gaji Bulanan, mampu menjana pendapatan wakaf yang konsisten untuk dimanfaatkan kepada pelbagai inisiatif wakaf berimpak tinggi.


(Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil menyempurnakan perasmian
Seminar Kesedaran Berwakaf Peringkat Negeri Perlis)

Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah, dana wakaf tunai yang besar amat diperlukan bagi merealisasikan setiap agenda dan inisiatif wakaf seperti yang dirancang.

Oleh itu, kejayaan pembinaan Bangunan Wakaf MAIPs- Perkhidmatan Dialisis Hospital Tuanku Fauziah (HTF) merupakan mercu tanda kejayaan sumbangan wakaf tunai seluruh masyarakat dalam membantu meringankan beban pesakit yang menderita dan memerlukan rawatan kesihatan sempurna.

Titah baginda lagi, keunikan amalan wakaf ini adalah disebabkan manfaatnya yang bersifat menyeluruh dimana boleh dinikmati oleh semua pihak tanpa mengira latar belakang agama, bangsa, sosio-ekonomi dan sebagainya.

Demikian titah baginda pada Seminar Kesedaran Berwakaf Peringkat Negeri Perlis, sempena Program Roadshow Bulan Wakaf Kebangsaan (BWK) Tahun 2022 yang disempurnakan perasmiannya oleh Raja Puan Muda,Perlis Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil di Kompleks Dewan Undangan Negeri.

Majlis tersebut dianjurkan oleh Jabatan Wakaf, Zakat dan Haji (JAWHAR) Putrajaya bersama Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs).

Turut dilaksanakan ialah pemeteraian upacara menandatangani Surat Hasrat Pelantikan Nazir Wakaf Pendidikan Jamalullail KUIPs yang disaksikan oleh Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil.










Media Baharu