KUALA TERENGGANU, 23 Februari - Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM) menetapkan kadar zakat fitrah tidak kurang RM10 dan RM21 untuk tahun ini.
Penetapan kadar tersebut adalah berdasarkan harga beras mengikut gred dan saiz yang dimakan di Islam di Terengganu.
Yang Dipertua MAIDAM Datuk Shaikh Harun Shaikh Ismail berkata, kadar kurang RM10 adalah harga jualan beras gred pertengahan, seperti beras tempatan, super import atau beras siam bagi segantang beras atau RM2.60 sekilogram mengikut harga purata beras.
Manakala kadar zakat fitrah RM21 pula adalah gred tertinggi bagi beras basmathi atau setara dengannya.
"Saya sebut dua kadar, sekurang-kurangnya RM10 tetapi biasanya mereka bayar RM12, RM13, RM14, RM15 macam tu la. Mengenai mereka mahu bayar secara lebih sikit dan kita rekod dalam kertas," kata Shaikh Harun.
Beliau berkata demikian selepas menyempurnakan Majlis Pelancaran Agihan Bantuan Zakat Asnaf Fakir Miskin Sempena Ramadhan Tahun 1446 Hijrah 2025 diDewan Terbuka Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu, di sini.
Di Terengganu, seramai 28,829 penerima bantuan zakat sempena Ramadan pada tahun ini melibatkan peruntukan lebih RM15,493,000.
Shaikh Harun juga memaklumkan MAIDAM melantik seramai 998 amil zakat dari seluruh Terengganu pada tahun ini bagi memudahkan umat Islam menunaikan zakat fitrah.
Sementara itu kutipan zakat di Terengganu pada tahun lalu ialah RM275.9 juta iaitu meningkat 8.1 peratus berbanding tahun 2023.