fb fb fb fb fb

Mahkamah: 29 Julai tentukan keputusan kematian Soosaimanicckam

S Joseph, bapa mendiang Soosaimanicckam

IPOH, 20 Mei- Mahkamah Tinggi Ipoh menetapkan 29 Julai depan untuk menentukan keputusan terbuka berhubung kematian Pegawai Kadet Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) J. Soosaimanicckam, ketika menjalani latihan di Kapal Diraja (KD) Sultan Idris, Lumut, pada Mei 2018.

Hakim Datuk Abdul Wahab Mohamed membuat keputusan itu setelah mendengar hujahan daripada pihak pendakwaan dan pembelaan.

Pada prosiding tahun lalu, Mahkamah Koroner mengistiharkan kes itu sebagai keputusan terbuka selepas mendapati keterangan tidak mencapai tahap yang dikehendaki untuk merekodkan keputusan.

Keluarga mendiang kemudian memfailkan permohonan untuk menyemak semula keputusan terbuka itu di Mahkamah Tinggi.

Soosaimanicckam yang baru seminggu menjalani latihan pada Mei 2018, dilaporkan tidak sihat dua hari sebelum mengadu sakit dada dan sesak nafas di blok penginapannya selepas selesai menjalani latihan fizikal, yang merupakan rutin harian pelatih pada pukul 12.20 tengah hari.

Susulan itu, Soosaimanicckam telah diberikan bantuan penafasan dan rawatan lanjut oleh doktor yang bertugas, sebelum disahkan meninggal dunia pada pukul 1.45 petang.

Ketua Polis Daerah Manjung ketika itu, Asisten Komisioner Muhammad Hanif Othman berkata, hasil siasatan forensik mendapati mangsa maut akibat paru-paru berair dan mengesahkan tiada sebarang unsur jenayah atau serangan fizikal, serta mengklasifikasikan kes itu sebagai mati mengejut.

Bagaimanapun, keluarga mendiang kemudian menuntut TLDM dan polis memberi penjelasan terperinci berhubung kematian itu, dengan mendakwa timbul kemusykilan berhubung punca kematian Soosaimanicckam, memandangkan laporan awal menyatakan beliau meninggal dunia akibat paru-paru berair, sedangkan laporan perubatan sebelum menjalani latihan menyatakan mendiang seorang yang sangat sihat.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI