KUALA LUMPUR, 7 Mei- Lebih 100 kilogram sayur-sayuran dan buah-buahan berjaya diselamatkan, daripada menjadi sisa buangan.
Usaha itu dilaksana oleh 10 orang mahasiswa Asasi Sains Sosial dari Pusat Asasi Sains Universiti Malaya (PASUM) dengan kerjasama sebuah badan bukan kerajaan (NGO), 'The Lost Food Project', baru-baru ini.
Pengumpulan makanan dikutip dari premis-premis perniagaan dan pembekal seluruh Lembah Klang, sebelum menjalani proses pengasingan dan pembungkusan semula.
Sebuah gudang yang terletak di ibu negara dijadikan sebagai tapak operasi utama, kemudian diagihkan kepada penduduk di PPR sekitar Kuala Lumpur.
Menurut wakil pelajar, Muhammad Irfan Mohd Sukri, program tersebut memberikan pengalaman berharga buat diri dan rakan-rakannya, selain yakin terhadap kemampuan golongan muda dalam memberikan sumbangan kepada negara.
“Walaupun kami hanya berkesempatan untuk menyertai aktiviti NGO ini pada satu sesi sahaja, namun nilai pengalaman yang ditimba sebagai seorang sukarelawan pada sesi tersebut adalah sangat bernilai."
"Melaluinya, kami tambah yakin yang generasi muda sebenarnya mempunyai tanggungjawab yang besar dalam membentuk masa depan yang kita ingini,” kata Muhammad Irfan.
Sementara itu, sukarelawan UM, Amni Zara menyatakan keterujaan dalam menjayakan program berkenaan selain dapat menimba ilmu dalam menjalankan aktiviti tanggungjawab sosial korporat (CSR) kepada komuniti.
“Secara jujurnya, saya sangat terinspirasi melihat kesungguhannya untuk melakukan sesuatu yang berimpak kepada komuniti setempat. Bukan sahaja untuk masa sekarang tetapi juga untuk generasi akan datang."
"Lebih mengujakan, keseluruhan program ini sebenarnya berasaskan kepada sebuah cetusan idea asal yang mudah iaitu menyelamatkan makanan yang elok sebelum dibuang,” kata Amni.
Foto UM
“Selama ini saya hanya mengenali daun salad (Lactuca sativa) jenis ‘iceberg’ yang kerap digunakan dalam hidangan nasi ayam. Rupanya, terdapat banyak lagi jenis daun salad yang ada seperti ‘coral’ dan ‘Romaine’ yang boleh digunakan dalam pelbagai jenis juadah,” kata Putri Syaza Alyaa Mohd Aszairi, sukarelawan yang turut terlibat dalam program itu.
“Harapan saya adalah lebih ramai lagi mahasiswa UM dapat meluangkan masa untuk melakukan program sukarelawan seperti ini kerana ia bukan hanya membantu pemegang taruh yang terlibat secara langsung, malah turut membina sahsiah diri yang baik demi menghasilkan graduan holistik pada masa hadapan,” kata Irdina Sofiyyah Ahmad Kamarul Basya.
Menurut laporan dari Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp), Malaysia menghasilkan lebih lapan juta tan metrik sisa makanan setiap tahun atau hampir 20,000 tan setiap hari.
Lebih memeranjatkan, 24 peratus daripada jumlah itu atau sekitar 4,000 tan sisa tersebut merupakan makanan yang masih elok untuk dimakan.