fb fb fb fb fb

Projek Saudi Aramco, Anwar akan bertemu Petronas

Foto BERNAMA

PUTRAJAYA, 7 Mei- Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim akan bertemu dengan Petronas minggu ini untuk membincangkan mengenai projek dengan Saudi Aramco di Kompleks Bersepadu Pengerang, Johor.

Beliau yang juga Menteri Kewangan berkata Saudi Aramco menyasarkan untuk memperluaskan fasilitinya di Kompleks Bersepadu Pengerang.

Anwar yakin komitmen Saudi Aramco terhadap misinya itu akan mengembang tetapi masih terdapat satu lagi aspek yang perlu dibincangkan dengan Petronas.

“Saya akan bincangkan dengan Petronas dalam masa satu dua hari ini.

"Ada tiga perkara pokok, dua sudah selesai..satu ada masalah sedikit yang harus kita putuskan di peringkat kerajaan," kata Anwar ketika berucap pada Perhimpunan Bulanan Bersama Warga Kementerian Kewangan di sini.

Dalam pada itu, Anwar berkata perkara berkaitan pendigitalan dan pengadaptasian kecerdasan buatan (AI) akan dibentangkan kerajaan semasa mesyuarat Kabinet esok.

Anwar berkata ia selari dengan komitmen kerajaan yang telah dipersetujui secara dasar, secara tidak langsung juga memudahkan urusan pelabur melabur di Malaysia.

"Kita sudah setuju pada dasar.

"Esok dalam mesyuarat Kabinet saya akan perkukuhkan...masih ada kadang-kadang keengganan atau kegusaran jabatan-jabatan kerana hendak 'control server' masing-masing.

"Itu pemikiran tahun 1980-an. Kita mesti jelaskan kepada mereka dan saya jelaskan juga kepada Microsoft, Google, kita akan perluaskan melainkan (yang melibatkan) isu-isu keselamatan khusus. 'National security' itu dikecualikan yang lain itu mesti (mengalami perubahan)," kata Anwar.

Tambahnya, beliau telah mengadakan perjumpaan dengan beberapa syarikat besar di dunia termasuk Microsoft yang telah mengumumkan pelaburannya.

NIZAHA BINTI ABDUL KAREM