fb fb fb fb fb

MAHA 2022 dapat sambutan luar biasa, catat 1.4 juta pengunjung

(Menteri Pertanian dan Industri Makanan (MAFI), Datuk Seri Dr Ronald Kiandee)

SERDANG, 14 OGOS - Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agro Pelancongan (MAHA) 2022 mendapat sambutan luar biasa dan berjaya melepasi sasaran asal bagi nilai jualan dan pengunjung.

Menteri Pertanian dan Industri Makanan, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee berkata, lebih 1.4 juta pengunjung melibatkan pengunjung secara fizikal dan maya telah hadir ke MAHA 2022.

Bagi sasaran nilai jualan, ia telah melangkaui sehingga RM260 juta.

"Penantian empat tahun ini menjadikan MAHA kali ini, MAHA yang terbesar dari segi jumlah pengunjung mahu pun nilai jualan.

"Ketika kita berada di dewan ini, mahupun Keluarga Malaysia yang sedang menonton secara langsung di kaca televisyen di luar sana, kehadiran jumlah pengunjung MAHA 2022 dicatatkan telah pun melebihi 1.4 juta pengunjung iaitu 1.2 juta pengunjung secara fizikal dan 266,000 pengunjung secara maya. Manakala, jumlah nilai jualan telah melangkaui RM260 juta.


(Antara pengunjung yang hadir secara fizikal ke MAHA 2022)

"Bagi pihak Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI), saya rakamkan ucapan tahniah serta setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada semua pihak termasuk warga MAFI, jabatan dan agensi kerajaan merentasi pelbagai kementerian, para penaja serta pihak swasta dan syarikat individu yang telah bersama-sama menjayakan penganjuran MAHA 2022," kata beliau pada sidang media Majlis Penutupan MAHA 2022, di sini hari ini.

MAHA 2022 telah menampilkan 22 segmen khusus untuk mengangkat sektor agromakanan sebagai salah satu sektor yang berpotensi untuk diceburi oleh seluruh lapisan masyarakat, selain memacu pemulihan sektor agromakanan dan membantu usahawan tani menjana pendapatan.

Media Baharu