fb fb fb fb fb

RM310,000 diagihkan untuk pengurusan institusi pondok dan maahad tahfiz di Kedah

(Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor)

ALOR SETAR, 14 Ogos - Jawatankuasa Pengurusan Wakalah Agihan Zakat Negeri Kedah memperuntukkan sebanyak RM310,000 untuk diagihkan kepada pengurusan institusi pondok dan maahad tahfiz di seluruh Kedah.

Ia merupakan sebahagian daripada RM360,000 yang dibayar oleh Lembaga Zakat Negeri Kedah (LZNK kepada kerajaan negeri Kedah sebagai wang wakalah zakat untuk diagihkan kepada asnaf yang layak.

Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, sebanyak 34 institusi pondok menerima wang wakalah bagi kegunaan pengurusan pondok iaitu sebanyak RM3,000 bagi setiap pondok dengan jumlah keseluruhan sebanyak RM102,000.

Manakala sebanyak 104 maahad tahfiz menerima wang wakalah bagi kegunaan pengurusan maahad tahfiz iaitu sebanyak RM2,000 setiap maahad tahfiz dengan jumlah keseluruhan sebanyak RM212,000.

Menurut beliau, wang wakalah yang diagihkan ini hendaklah digunakan untuk tujuan pengurusan seperti yang dinyatakan di dalam Garis Panduan Pengurusan Wakalah Agihan Zakat yang dikeluarkan oleh Jawatankuasa Pengurusan Wakalah Agihan Zakat Negeri Kedah.


(Foto fail)

"Adalah menjadi harapan saya wang wakalah ini dapat dimanfaatkan sebaiknya oleh pengurusan pondok dan maahad tahfiz, walau pun tak banyak mana tapi sekurang-kurangnya dapat juga serba sedikit membantu kewangan pengurusan pondok dan tahfiz," kata beliau semasa berucap pada Majlis Agihan Wakalah Zakat Pejabat Kerajaan Negeri Kedah di Dewan Seri Mentaloon, di sini hari ini.

Jelas Muhammad Sanusi, agihan wakalah zakat tersebut merupakan 1/8 daripada jumlah bayaran zakat oleh kakitangan kerajaan negeri Kedah yang dibuat melalui potongan gaji kepada LZNK bagi tahun 2021 yang berjumlah RM2.881 juta.

Ia melibatkan potongan gaji secara bulanan oleh kakitangan 29 agensi kerajaan negeri.

Katanya, berdasarkan rekod sistem pembayaran gaji, sehingga 31 Julai lalu,seramai 4,049 kakitangan kerajaan negeri atau 77 peratus daripada keseluruhan 5,247 kakitangan kerajaan negeri telah membuat bayaran zakat kepada LZNK dengan membuat potongan gaji melalui sistem pembayaran gaji bulanan.

Sehubungan itu, beliau berharap jumlah tersebut dapat dipertingkatkan dan semua kakitangan kerajaan negeri dapat membuat bayaran zakat melalui potongan gaji secara bulanan.

Media Baharu