PUTRAJAYA, 21 Julai- Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) sedang memberi perhatian untuk meningkatkan tahap sara diri (SSL) bagi beras, daging dan susu.
Menurut Timbalan Menterinya, Datuk Seri Ahmad Hamzah, SSL bagi ayam dan telur buat masa ini adalah mencukupi.
Beliau berkata demikian ketika ditanya media mengenai langkah yang diambil MAFI dalam melaksanakan program berkaitan sekuriti makanan negara.
"Kita nak memastikan bukan sahaja makanan atau bekalan itu sentiasa stabil dan mencukupi bahkan kita nak melihat supaya kita dapat memenuhi mana-mana sektor-sektor yang masih lagi kurang SSL. Sebagai contoh, SSL ayam dan telur telah mencukupi manakala seperti beras, daging, susu dan lain-lain tidak cukup. Ini akan diberi perhatian. MAFI kini bergerak ke arah tersebut supaya dapat memenuhi SSL sekali gus mengurangkan kebergantungan import barangan makanan dari luar negara," kata Ahmad Hamzah dalam sidang media selepas merasmikan sambutan Hari Inovasi Jabatan Pertanian Tahun 2022, di sini.
Sementara itu, pada masa yang sama Ketua Pengarah Jabatan Pertanian, Datuk Zahimi Hassan turut memaklumkan Kementerian Sumber Manusia (KSM) dalam satu mesyuarat semalam telah bersetuju memberikan kelulusan kepada 3,200 pekerja asing bagi sektor pertanian.
(Timbalan Menteri MAFI, Datuk Seri Ahmad Hamzah menyempurnakan penyampaian Anugerah
Pengembangan Pertanian kepada pemenang selepas merasmikan sambutan Hari Inovasi Jabatan Pertanian Tahun 2022)