KUALA LUMPUR, 21 Julai- Memorandum Persefahaman (MoU) Transformasi dan Kestabilan Politik diantara Perdana Menteri dan Pakatan Harapan (PH) masih lagi berkuat kuasa sehingga Parlimen dibubarkan.
Justeru, tiada keperluan MoU baru ditandatangani kerana tempoh masa ia berkuat kuasa tidak dinyatakan dalam memorandum tersebut.
Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa berpandangan, sebarang polemik politik perlu dikurangkan ketika ini dan memberi fokus kepada isu rakyat yang lebih besar.
"Buat masa ini, saya rasa ada baiknya kita fokus kepada masalah rakyat yang sedang berdepan harga barang serta inflasi dan kita terus bekerja sebagai satu pasukan dengan keterlibatan pihak pembangkang yang bersama memberikan kerjasama mengekalkan kestabilan sekali gus berfungsi sebagai sebuah kerajaan," kata Annuar menjelaskan perkara tersebut dalam sidang media di bangunan Parlimen.
Beliau mengulas pendirian UMNO yang memutuskan untuk tidak melakukan sebarang pelanjutan perjanjian MoU diantara pihak kerajaan dan Pakatan Harapan.
(Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa menjelaskan perkara tersebut di Parlimen)