fb fb fb fb fb

Daftar produk ketum, kanabis: KKM sedia kerangka

KUALA lUMPUR, 21 Julai- Jawatankuasa Induk Pembangunan Industri Kanabis dan Ketum ditubuh bagi melihat bukti terkini mengenai penggunaan ketum serta kanabis terutama untuk tujuan perubatan, menurut Menteri Kesihatan Khairy jamaluddin.

Khairy yang juga Pengerusi jawatankuasa itu ketika menggulung perbahasan Rang Undang-Undang Racun (Pindaan) 2022 di Dewan Rakyat, berkata, mesyuarat kali pertama jawatankuasa itu akan diadakan pada 25 Julai ini.

"Selepas jawatankuasa ini mendapat pandangan daripada pakar sama ada ketum atau kanabis boleh digunakan dengan selamat bagi tujuan tertentu khususnya perubatan maka kita akan keluarkan kerangka bagi pendaftaran produk-produk demikian.

"Ini juga akan memberi kesan kepada penanam-penanam ketum di Malaysia yang mungkin boleh mendapat hasil ekonomi daripada penjualan tanaman ketum mereka," katanya menjawab cadangan Ahli Parlimen Hang Tuah Jaya, Datuk Seri Shamsul Iskandar @ Yusre Mohd Akin semasa sesi perbahasan rang undang-undang itu mengenai hala tuju kerajaan untuk membenarkan penggunaan ketum bagi tujuan perubatan di negara ini.

Khairy turut memaklumkan, tiada cadangan mengenai kawalan terhadap ketum di bawah pindaan Akta Racun pada kali ini.

"Bagaimanapun, mitragynine iaitu alkaloid yang terdapat dalam ketum masih tertakluk kepada kawalan sedia ada akta ini," katanya.

(Daun ketum/BERNAMA)

Beliau turut memberi bayangan terdapat kemungkinan besar kementerian akan mengeluarkan rangka kerja bagi pendaftaran produk berkaitan cannabidiol (CBD) menjelang akhir 2022.

"Bagaimanapun untuk kanabis, ada kemungkinan besar kita akan keluarkan kerangka CBD menjelang akhir tahun ini supaya dapat dipertimbang pendaftaran dan penggunaan untuk pesakit tertentu pada tahun depan," katanya.

Pada 14 Julai lalu, Khairy memaklumkan, KKM menyasarkan pendaftaran beberapa produk asas kanabis, CBD menjelang tahun depan.

Katanya, kerangka bagi pendaftaran produk itu akan diperoleh tahun ini dan selepas itu Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA) akan menilai cadangan berkenaan.

Media Baharu