fb fb fb fb fb

MAFI bakal tandatangan sembilan MoU bersama pemain industri MAHA 2022

Foto FB Menteri

SERDANG, 31 Julai- Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) akan menandatangani sembilan Memorandum Persefahaman (MoU) bersama pemain industri Pameran Pertanian, Hortikultur dan Pelancongan Agro Malaysia (MAHA) 2022.

Menterinya, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee berkata MoU tersebut melibatkan pelaburan lebih daripada RM4 bilion.

"Sembilan MoU akan ditandatangani bersama dengan pemain industri domestik dan juga teknologi dari luar. Jadi, kesemuanya akan berlaku dalam tempoh 11 hari MAHA dianjurkan pada kali ini," kata Ronald kepada media di Program Media Tour MAHA 2022@Road to MAHA Zon Tengah di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS), Serdang.

Tambahnya, sambutan daripada pemain industri tempatan amat menggalakkan dan ia pasti merupakan satu ekspo yang dinanti-nantikan oleh rakyat Malaysia.

Sementara itu, 1,500 reruai akan disediakan di Pameran Pertanian, Hortikultur dan Pelancongan Agro Malaysia (MAHA) 2022 bermula 4 hingga 14 Ogos ini.

Menteri Pertanian dan Industri Makanan, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee berkata ia merupakan penganjuran selepas empat tahun ditunda akibat penutupan sempadan dan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

"Kita ada kandungan yang baharu, penemuan yang baharu lah iaitu "Internet Of Things (IoT)". Kita akan melihat penemuan teknologi baharu dalam teknologi IoT itu sendiri. Selain itu, ruang pameran akan dimanfaatkan oleh pemain-pemain Industri Kecil Sederhana (IKS) dan besar untuk mempromosikan produk hiliran daripada sektor pertanian ini," tambah Ronald.

Pihaknya berpuas hati dan yakin persiapan akhir oleh penganjur akan menghasilkan pameran yang lengkap dan sedia dikunjungi oleh warga Malaysia.


(Foto FB Menteri)

Media Baharu