ALOR SETAR, 30 September - Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) meningkatkan kesiapsiagaan menghadapi peralihan monsun susulan fenomena La Nina bagi memastikan kelangsungan penanaman padi musim kedua 2025.
Pengerusi MADA, Datuk Dr Ismail Salleh berkata, pelan pengurusan bencana diaktifkan secara sistematik dengan penyelarasan antara pasukan teknikal dan anggota lapangan.
Menurutnya, bantuan logistik seperti pam bergerak, bot, lori dan jengkaut turut disediakan untuk digerakkan pada bila-bila masa bagi memastikan tindak balas pantas sekiranya berlaku bencana. “Kami memberi tumpuan kepada kawasan yang menerima hujan lebat selain memastikan infrastruktur tidak terjejas supaya musim penanaman tidak terganggu akibat banjir,” katanya.
Setakat ini, aktiviti penuaian padi di kawasan Muda telah mencapai 50 peratus dan dijangka selesai penghujung Oktober.
MADA juga terus memantau kedudukan takungan empangan, turunan hujan serta paras air sungai utama dan melaporkan kepada pihak berkuasa negeri serta daerah bagi tujuan penyelarasan agensi.
Paras air di tiga empangan utama kendalian MADA iaitu Pedu, Muda dan Ahning kini berada pada tahap mencukupi.
Sementara itu, Jabatan Meteorologi Malaysia memaklumkan Fasa Peralihan Monsun bermula hari ini sehingga November, menandakan berakhirnya Monsun Barat Daya yang bermula sejak 10 Mei lalu.