KUALA LUMPUR, 29 September - Peningkatan kejadian banjir kilat dan tanah runtuh saban tahun menuntut pendekatan baharu dalam mendidik rakyat Malaysia agar lebih bersedia menghadapi bencana.
Dekan Sekolah Kepimpinan dan Daya Tahan, Enforcement, Leadership and Management University (ELMU), Dr. Norhafifi Ismail menegaskan bahawa pendidikan bencana bukan lagi pilihan, sebaliknya keperluan mendesak untuk menyelamatkan nyawa dan harta benda.
Menurut beliau, langkah paling berkesan adalah memulakan pendidikan bencana dari bangku sekolah.
“Elemen kesedaran boleh diserap ke dalam kurikulum dan aktiviti kokurikulum supaya kanak-kanak memahami prosedur keselamatan sejak usia muda.
“Generasi muda yang celik bencana mampu bertindak pantas dan menjadi agen perubahan dalam keluarga serta komuniti,” katanya ketika ditemu bual oleh DJ Izz Azlan dalam program ALFA terbitan NASIONALfm hari ini.
Dr. Norhafifi berkata, kempen kesedaran awam melalui televisyen, media sosial dan program komuniti juga perlu diperhebat.
“Pendekatan pelbagai platform penting untuk memastikan mesej kesiapsiagaan sampai ke semua lapisan masyarakat, termasuk di kawasan pedalaman. Selain itu, latihan simulasi seperti pemindahan kecemasan di sekolah, pejabat dan kawasan perumahan perlu dijadikan amalan berkala. Latihan yang kerap dapat melatih masyarakat agar tidak panik apabila bencana sebenar berlaku,” tambahnya.
Beliau turut menyarankan masyarakat setempat melibatkan diri dalam program seperti Pasukan Respons Kecemasan Komuniti.

Dr. Norhafifi Ismail ketika ditemu bual bersama penyampai Nasionalfm, Izz Azlan
“Program sebegini melatih penduduk menjadi responden awal sementara menunggu bantuan profesional, sekali gus mempercepatkan tindakan menyelamat. Dengan pendidikan awal, kempen berterusan dan penglibatan komuniti, rakyat Malaysia diharap lebih bersedia, bukan sekadar menjadi mangsa, tetapi barisan pertama yang bertindak ketika detik cemas,” ujarnya.
Dr. Norhafifi selanjutnya berkata, keberkesanan operasi menyelamat bukan hanya bergantung kepada kepakaran agensi seperti Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Jabatan Bomba dan Penyelamat (BOMBA) serta Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), tetapi turut dipacu oleh penglibatan komuniti yang memahami selok-belok kawasan masing-masing.
“Penduduk tempatan adalah mata dan telinga pertama di lapangan. Mereka tahu laluan alternatif, lokasi berisiko, dan boleh memberi maklumat segera sebelum pasukan penyelamat tiba,” tambahnya.