fb fb fb fb fb

MADA memperuntukkan RM1.3 juta sebagai bantuan khas

KANGAR, 7 April - Tabung Bencana Tanaman Padi yang diwujudkan Kementerian Pertanian dan Industri Makanan sebagai bantuan khas kepada penanam padi yang menghadapi bencana luar jangka memberi manfaat kepada 956 penanam padi di Perlis

Dengan peruntukan sebanyak RM1.3 juta , sedikit sebanyak meringankan beban ditanggung penanam padi akibat bencana banjir dan padi rebah yang berlaku di Perlis pada Mei dan September tahun lalu.

Menurut Pengerusi Lembaga Kemajuan Muda (MADA), Ahmad Tarmizi Sulaiman, keluasan kawasan padi yang terjejas seluas 840.6 hektar melibatkan lima lokaliti Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK).

PPK terlibat ialah PPK MADA A-1 Arau, PPK MADA B-1 Kayang, PPK MADA C-1 Kangar, PPK MADA D-1 Tambun Tulang dan PPK MADA E-1 Simpang Empat.


"Kategori yang telah ditetapkan oleh kementerian iaitu pokok padi yang berusia satu hingga 70 hari, kerajaan membayar sebanyak RM876 per hektar.

"Manakala pokok padi yang berusia 71 hari ke atas, bantuan akan diberikan sebanyak RM1,800 per hektar. jadi dua kategori yang kita bagi yang bawah umur dia 70 hari ke bawah dan 71 hari ke atas", beliau berkata kepada media pada Majlis Penyampaian Bantuan Wang Ihsan Tabung Bencana Tanaman Padi bagi bulan Mei dan September 2021 kawasan MADA Negeri Perlis di Dewan Warisan, di sini.

Majlis disempurnakan Menteri Besar Perlis, Datuk Seri Azlan Man yang turut menyampaikan cek kepada 400 peladang dari keseluruhan 956 orang penanam padi yang terlibat banjir dan padi rebah mewakili lima Pertubuhan Peladang Kawasan.


(Menteri Besar Perlis, Datuk Seri Azlan Man menyampaikan cek)

Media Baharu