KUALA LUMPUR, 7 April - Bantuan Khas Kewangan Aidilfitri yang diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob semalam, bakal dinikmati warga Angkatan Tentera Malaysia dan veteran ATM.
Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein dalam satu kenyataan berkata, pihaknya menyambut baik pemberian bantuan itu yang sentiasa mengambil kira anggota dan veteran ATM seperti penyaluran bantuan lain sebelum ini.
(Foto fail)
"Dijangkakan seramai 120,615 pegawai serta anggota yang sedang berkhidmat dan kira-kira 200,000 veteran ATM bakal menerima manfaat bantuan khas kewangan ini.
"Veteran perlu berdaftar dengan Jabatan Hal Ehwal Veteran (JHEV) sama ada berpencen mahupun tidak dan bagi veteran ATM yang masih belum berdaftar dengan JHEV disaran berbuat demikian secepat mungkin bagi menikmati manfaat bantuan berkenaan," menurut kenyataan itu.
Bantuan tersebut dapat membantu anggota dan veteran ATM melakukan persiapan menjelang perayaan pada 1 Syawal nanti.
Semalam, Ismail Sabri mengumumkan kerajaan bersetuju memberi Bantuan Khas Kewangan Aidilfitri sebanyak RM500 kepada penjawat awam dan RM250 kepada pesara kerajaan.