(Datuk Zuraida dalam sidang media selepas pelancaran Majlis Jelajah Mari Kenali Sawit)
KLANG, 6 April - Sejumlah 300,000 naskah buku 'Mari Kenali Sawit' akan diedarkan di sekolah rendah dan menengah kerajaan serta swasta terpilih seluruh negara sebagai usaha kerajaan memberi pendedahan berhubung kelapa sawit kepada murid.
Pengedaran dibuat secara berperingkat dan diberi secara percuma.
Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Zuraida Kamaruddin berkata, buku tersebut menjelaskan mengenai fakta kelapa sawit yang betul, kepentingan dan sumbangan industri komoditi itu kepada pembangunan sosio ekonomi dan pendapatan negara.
(Datuk Zuraida menyampaikan sumbangan kepada sekolah yang terbabit dalam Program Jelajah Mari Kenali Sawit kepada Timbalan Ketua Pengarah Pendidikan, Dr Norisa Suhaili)
"Maka anak-anak di sekolah ini harus diperkenalkan dengan maklumat-maklumat kelapa sawit, bagaimana ia diproses, bagaimana diurus dan sebagainya yang ada dalam buku tersebut.
"Bahasa yang sangat mudah untuk mereka fahami dan dengan itu akan menambah minat mereka untuk mengetahui lebih lanjut tentang pengurusan ladang sawit dan juga mungkin untuk bekerja dalam ladang-ladang sawit ini untuk masa depan mereka," kata Zuraida selepas melancarkan Majlis Jelajah Mari Kenali Sawit di sini.
Pelbagai aktiviti dengan beberapa komponen akan dilaksanakan dalam program jelajah itu.
Fasa pertama program merangkumi 100 buah sekolah menengah kebangsaan dan terpilih di Semenanjung manakala fasa seterusnya melibatkan sekolah-sekolah di Sabah dan Sarawak.