fb fb fb fb fb

MA63: Rundingan termasuk isu agihan sumber asli membabitkan pelbagai pihak

Rundingan juga dijalankan berpandukan undang-undang sedia ada.

KUCHING, 5 Mei - Rundingan berkaitan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) termasuk perkara membabitkan isu pengagihan sumber asli di Sarawak, sememangnya melibatkan pelbagai pihak.

Jelas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof, proses itu juga dijalankan berpandukan undang-undang sedia ada.

"Dalam perundingan, ada melibatkan soal perundangan dan ia hanya boleh diselesaikan melalui mahkamah. Tetapi pendekatan sekarang ialah untuk mencari kaedah menang-menang.

"Sebab itu perundingan nanti bukan sahaja antara Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim) dan Premier Sarawak (Tan Sri Abang Johari Tun Openg). Malah, melibatkan Peguam Besar Negeri dan Peguam Negara serta pihak PETRONAS dan PETROS,"katanya

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Minggu Penyelesaian Pertikaian Alternatif (ADR) Borneo 2025 di sini hari ini.

Jelas Datuk Seri Fadillah lagi, rundingan akan berterisan sehingga kata sepakat dicapai oleh kesemua pihak terlibat.

Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Teknikal Majlis Tindakan Pelaksanaan MA63 mengulas cadangan supaya Peguam Negara dan Peguam Besar Negeri diberi tanggungjawab untuk berbincang dan menasihati kerajaan pusat serta negeri dalam setiap pertikaian membabitkan undang-undang dan Perlembagaan Persekutuan.

ANDY REZA ROHADIAN BIN KHAIRUL ANWAR