fb fb fb fb fb

Ekonomi negara diunjur semula kepada 4.1%, lebih sederhana - PM

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim

KUALA LUMPUR, 5 Mei- Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memaklumkan bahawa negara berdepan unjuran ekonomi lebih sederhana tahun ini iaitu kepada 4.1% berbanding kepada 4.7% sebelum ini.

Situasi itu berkait pertumbuhan ekonomi dunia 2025 yang dijangka berkembang lebih sederhana berbanding unjuran awal.

Berdasarkan IMF World Economic Outlook antara bulan April dan Januari 2025, pertumbuhan ekonomi global disemak semula kepada 2.8% berbanding 3.3% (unjuran awal).

"Suatu hal yang memprihatinkan ialah angka-angka terkini mengenai pertumbuhan ekonomi dunia yang dijangka menurut IMF World Economic Outlook antara bulan April dan Januari 2025 akan lebih sederhana.

Amerika Syarikat (1.8%) berbanding (2.7%), Indonesia (4.7%) berbanding (5.1%) dan Thailand (1.8%) berbanding (2.9%)," katanya pada Sidang Parlimen Khas berkenaan tarif AS ke atas Malaysia di Dewan Rakyat.

Dewan Rakyat turut dimaklumkan bahawa penangguhan pelaksanaan tarif AS oleh Presiden Donald Trump, membuka peluang rundingan yang lebih teliti dan menyeluruh.

Perbincangan tersebut juga tertakluk kepada perjanjian kerahsiaan atau Non-Disclosure Agreement (NDA), sebelum ia dimuktamadkan.

"Semua perbincangan ia akan baru-baru ini termasuk oleh rombongan yang diketuai oleh Menteri MITI kerana terikat dengan Non-Disclosure Agreement (NDA).

Ini amalan antarabangsa, mana-mana perjanjian sebelum dimuktamadkan iaitu mesti menjaga kerahsiaan tetapi sebaik dimeterai, kita akan memaklumkan kepada jemaah menteri dan parlimen," tambah Anwar.

Perdana Menteri turut memaklumkan, susulan situasi yang dinamik, unjuran Belanjawan 2025 bagi pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) 2025 iaitu antara 4.5% dan 5.5% tidak akan dicapai.

Namun, Kementerian Kewangan dan Bank Negara Malaysia (BNM) sedang meneliti kesan tarif dan akan menyemak semula unjuran pertumbuhan KDNK.

Ia akan dilaksana setelah negara mendapat kepastian atas pelaksanaan dasar tarif serta hasil rundingan dengan AS.

MUHAMMAD AFIF FARHAN BIN AHMAD HISHAM