fb fb fb fb fb

LTAT umum pelantikan Pengerusi dan Ketua Eksekutif baharu

Foto FB LTAT

KUALA LUMPUR, 29 Mac 2024- Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) telah melantik Jeneral Tan Sri Azizan Ariffin TUDM (Bersara) sebagai pengerusi baharunya dan Mohammad Ashraf Md Radzi sebagai Ketua Eksekutif, berkuat kuasa 1 April 2024.

LTAT dalam satu kenyataan memaklumkan bahawa pelantikan Jeneral Tan Sri Azizan adalah kerana pengalaman dan kepimpinannya yang luas, setelah berkhidmat selama empat dekad di dalam Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

Sebelum ini, Tan Sri Azizan pernah menyandang jawatan penting dalam ATM antaranya Panglima Operasi Udara, Timbalan Panglima Tentera Udara, dan juga sebagai Panglima Tentera Udara ke-15.

Selain itu, beliau turut mencipta sejarah apabila menjadi Panglima Angkatan Tentera yang pertama daripada Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM).

"Pengalaman beliau yang luas dalam hal-hal ketenteraan, diplomasi dan pembangunan kepimpinan diyakini akan mendorong LTAT agar terus mencapai objektif strategiknya dan meningkatkan peranan dalam menjaga kebajikan anggota ATM dan keluarga mereka," kata kenyataan itu.

Sementara itu, Mohammad Ashraf mengambil alih peranan sebagai Ketua Eksekutif selepas berkhidmat sebagai Ketua Pegawai Kewangan semenjak Mac 2020.

"Sepanjang tempoh perkhidmatannya, beliau telah menunjukkan kecekapan dalam menguruskan hal ehwal
kewangan, memimpin perangkaan strategi kewangan dan memastikan kepatuhan kepada prinsip-prinsip kebertanggungjawaban kewangan di LTAT."

"Kepimpinan beliau telah memberikan sumbangan yang signifikan kepada agenda transformasi organisasi yang
berjaya memulihkan dividen kepada tahap yang mampan serta meningkatkan kedudukan kewangan secara keseluruhannya," tambah kenyataan itu.

Mohammad Ashraf memulakan kerjayanya di Eropah sebagai akauntan di firma Ernst & Young, sebelum berkhidmat di UBS Investment Bank.

Setelah kembali ke tanah air, beliau mengembangkan kepakarannya dalam bidang kewangan korporat di beberapa buah syarikat antaranya Prokhas Sdn. Bhd. dan Ahmad Zaki Resources Berhad (AZRB).

MUHAMMAD AFIF FARHAN BIN AHMAD HISHAM