fb fb fb fb fb

Kerajaan Persekutuan ambil alih projek LRT Laluan Mutiara Pulau Pinang

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke

PUTRAJAYA, 29 Mac - Projek Transit Aliran Ringan (LRT) Laluan Mutiara Pulau Pinang secara rasmi akan diambil alih oleh Kerajaan Persekutuan daripada kerajaan negeri.

Menteri Pengangkutan Anthony Loke berkata, keputusan itu dicapai susulan keputusan Jemaah Menteri yang meluluskan cadangan pembangunan projek berkenaan minggu lepas iaitu pada 22 Mac.

"Secara rasminya, kerajaan telah memutuskan untuk melantik MRT Corp iaitu syarikat 100 peratus milik Menteri Kewangan Diperbadankan (MoF Inc) sebagai pemaju dan pemilik aset.

"Pelaksanaan projek ini akan dibuat secara tender terbuka manakala perolehan akan terbahagi kepada tiga komponen utama,” katanya pada sidang media di sini.

Beliau berkata tiga komponen berkenaan ialah kontrak untuk kerja-kerja pembinaan sivil bagi Segmen 1 iaitu jajaran Pulau Silikon ke Komtar; kontrak untuk pembinaan sivil bagi Segmen 2 iaitu jajaran dari Komtar ke Penang Sentral serta kontrak ‘turnkey’ kerja-kerja sistem dan stokereta secara bina-selenggara-pindah (BMT).

"SRS Consortium Sdn Bhd (SRS) akan ditawarkan kontrak bagi Segmen 1 melalui mekanisme Single Sourcing Request Proposal.

"Tawaran ini adalah berdasarkan permintaan daripada kerajaan Pulau Pinang yang telah melantik SRS sebagai rakan pelaksana projek kepada Pelan Induk Pengangkutan Pulau Pinang yang merangkumi LRT Laluan Mutiara melalui tender terbuka pada Ogos 2015," katanya.

Beliau berkata SRS telah melaksanakan kajian teknikal dan reka bentuk awalan serta memperoleh kelulusan Penilaian Kesan Alam Sekitar (EIA), Penilaian Kesan Sosial (SIA) dan Skim Kereta Api bersyarat.

Ditanya mengenai kos anggaran keseluruhan projek yang dijangka memulakan kerja pembinaan tahun ini, Loke berkata beberapa rundingan akan diadakan dengan pihak berkaitan sebelum perkara itu dapat diumumkan.

“Anggaran kos memang ada tetapi kita nak berunding dahulu dengan pihak berkenaan. Jadi kita tidak mahu meletakkan suatu kos yang kita putuskan, itu tertakluk kepada rundingan bersama dengan syarikat terbabit,” katanya.

Loke berkata pembinaan depot operasi stokereta akan dirancang dan dibangunkan bersama projek pembangunan bersepadu berorientasikan transit di Tapak Pesta, Sungai Nibong secara usaha sama antara MRT Corp dengan kerajaan negeri.

Strategi baharu itu katanya bertujuan menjana hasil bukan tambang tambahan, yang penting untuk dilaburkan semula dalam penyelenggaraan LRT Pulau Pinang pada masa hadapan.

Mengenai syarat dikenakan kerajaan negeri kepada kerajaan Persekutuan, Loke berkata antaranya ialah kerja penambakan laut perlu dikurangkan kepada sebuah pulau berbanding tiga pulau.

Loke optimis projek itu bukan hanya memberi manfaat kepada penduduk di Pulau Pinang, malahmemudahkan perjalanan pekerja yang tinggal di Perlis, Kedah dan Perak Utara yang menggunakan kereta api sebagai mod pengangkutan setiap hari.

Jajaran LRT Mutiara yang disasarkan beroperasi pada 2030 itu bermula dari Pulau Silikon hingga keKomtar, seterusnya menyeberang ke Penang Sentral di Seberang Perai.

Jarak jajaran dianggarkan kira-kira 29 kilometer dengan 20 stesen termasuk dua stesen pertukaran iaitu di Stesen Komtar dan Stesen Penang Sentral.

Kemudahan komuter Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) dan tren elektrik (ETS) turut disediakan.

TETITIA YUSOFF