fb fb fb fb fb

LRA Tualang 2 manfaatkan 5,000 pengguna di Kuala Krai

KUALA KRAI, 28 Julai- Pembinaan projek Loji Rawatan Air (LRA) Tualang 2 di Kuala Krai, Kelantan mampu menampung 5,000 akaun pengguna meliputi tujuh kampung utama dengan kapasiti 20 juta liter sehari (JLH).

Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob berkata, air terawat dari LRA itu, akan memenuhi permintaan air di Bandar Kuala Krai dan kawasan sekitar termasuk antaranya, Kampung Guchil, Kampung Sungai Durian, dan Kampung Batu Lada.

Katanya, sebelum ini, bandar Kuala Krai dan kawasan berkenaan menerima air terawat dari LRA Tualang Lama dan LRA Pahi.

Dengan beroperasinya LRA itu, margin simpanan bekalan air terawat di daerah tersebut kini mencecah 20 peratus.

“2019 siap dan diserah kepada AKSB pada tahun 2020 dan harini secara rasminya diserah kepada AKSB untuk membekal air kepada kawasan sekitar terutamanya kawasan Guchil dan kini boleh membekal sebanyak 5,000 juta liter sehari, dahulu kerana masalah agihan paip tidak dapat disempurnakan lagi,” kata Ahmad.

Beliau berkata demikian ketika ditemui di Program Jjupo Mata Bersama Rakyat jajahan Kuala Krai di Mini Zoo Kuala Krai, Kelantan.

Terdahulu, Datuk Ahmad mengadakan lawatan dan Perasmian Loji Rawatan Air Tualang 2 di Kampung Batu Lada, Kuala Krai.

Turut hadir, Timbalan Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah dan Pengurus Besar Air Kelantan Sdn Bhd (AKSB), Datuk Dr Azuhan Mohamed.

Mengulas lanjut, beliau berkata, pembinaan Projek LRA tersebut telah dimulakan pada tahun 2017 dengan kos sebanyak RM49 juta melalui peruntukan Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB).

Antara skop utama pembinaan LRA terbabit adalah dua buah telaga jejari dengan kapasiti 10 JLH setiap satu, paip air mentah bergaris pusat 400 milimeter (mm) dan paip air terawat bergaris pusat 450 mm.

Menurut beliau, proses rawatan air di LRA Tualang 2 ini akan melalui empat aktiviti utama iaitu sumber air mentah dari telaga jejari, pengoksidaan bertekanan tinggi (special aerator nozzle), rawatan air melalui Sistem Chemilles dan air terawat disalurkan ke tangki Bukit Lada sebelum diagihkan kepada pengguna.

 


(Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob membuat tinjauan di 
Loji Rawatan Air Tualang dua di Kampung Batu Lada)

Media Baharu