fb fb fb fb fb

LRA Sungai Semenyih sudah beroperasi sepenuhnya, tiada lagi unsur pencemaran

(Loji Rawatan Air Sungai Semenyih)

KUALA LUMPUR, 5 Disember- Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara SPAN mengesahkan Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Semenyih telah beroperasi sepenuhnya setelah disahkan tiada lagi sebarang unsur pencemaran ke atas sumber bekalan air tersebut.

Pengarah Unit Komunikasi Korporat dan Hal Ehwal Pengguna, Mohd Fazil Ismail berkata, pihaknya memandang serius insiden tersebut yang mengakibatkan operasi LRA terpaksa dihentikan sementara.

Insiden pencemaran bau itu mula dikesan di Muka Sauk Jenderam Hilir, Dengkil dan dikenalpasti berpunca daripada pembuangan efluen terlarang ke alur air di Sungai Batang Benar, Nilai Negeri Sembilan.


(Pengarah Unit Komunikasi Korporat dan Hal Ehwal Pengguna, Mohd Fazil Ismail)

"Tiga agensi telah digerakkan iaitu Jabatan Alam Sekitar, SPAN dan Lembaga Urusan Air Selangor (LUAS) kerana sungai dari Batang Benar itu akan turun dan sampai ke Selangor dan pemantauan telah dilakukan secara berkala bagi melihat kesan ke atas pencemaran tersebut.

"Hasil daripada apa yang kita saksikan bahawa Loji Rawatan Air Sungai Semenyih telah terpaksa ditutup selama hampir tiga jam bagi memastikan bahawa pencemaran tidak masuk ke dalam loji", katanya kepada RTM.

Jelasnya, pihak SPAN dan Jabatan Alam Sekitar memperketat pemantauan agar pihak industri terus mematuhi Standard Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 bagi mengelakkan alur sumber air mentah dicemari bahan terlarang sekali gus menjejaskan perkhidmatan operasi bekalan air.

SPAN tidak akan berkompromi dengan pihak yang melakukan jenayah pencemaran sumber air.

Tindakan boleh dikenakan mengikut seksyen 121 (1) (c) Akta Industri Perkhidmatan Air, Akta 655.

Media Baharu