fb fb fb fb fb

Usahawan wanita MARA semakin kuasai bidang teknikal

Ahli Majlis MARA, Senator Datuk Rosni Sohar menghadiri Program Pemerkasaan Wanita MARA

SUNGAI PETANI, 13 November - Penglibatan wanita dalam bidang teknikal semakin meningkat apabila program bimbingan MARA membuka peluang lebih luas kepada usahawan wanita menembusi sektor pembinaan, automotif dan kemahiran khusus.

Perkara itu dibuktikan dengan penyertaan kira-kira 400 usahawan wanita yang hadir ke Program Pemerkasaan Wanita MARA Peringkat Parlimen Sungai Petani dan Merbok hari ini.

Ahli Majlis MARA, Senator Datuk Rosni Sohar, berkata MARA akan terus memperkukuh latihan melalui Skim Pembiayaan SPIKE, Pembiayaan Mudah Jaya, Program Usahawan Teknikal (PUTEK) dan Skim Pembiayaan DanaNita bagi memastikan lebih ramai wanita berupaya berdikari serta menyertai ekosistem keusahawanan.

Terdahulu, Rosni menyampaikan cek tiruan berjumlah RM436,000 kepada lima usahawan wanita melalui Skim Pembiayaan SPIKE, Pembiayaan Mudah Jaya, PUTEK dan DanaNita.

Sementara itu, Pengarah MARA Kedah, Rizal Effendi Razali, berkata program pemerkasaan wanita itu sebelum ini menghimpunkan antara 609 hingga 700 peserta di peringkat negeri sebelum diperluas ke peringkat parlimen.

Program edisi keenam berkenaan telah menjelajah lima parlimen di Kedah, termasuk Kota Setar, Padang Terap, Pokok Sena selain Sungai Petani dan Merbok.

GRACE AISYAH KEDAYAN