fb fb fb fb fb

Lorong kiri Terowong Meru laluan Kuala Kangsar-Ipoh ditutup - PLUS

IPOH, 4 Februari- Lorong kiri di Terowong Meru bagi laluan Kuala Kangsar-Ipoh di Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) di Kilometer (KM) 260.30 hingga KM262.05 arah selatan ditutup bermula 7 Februari ini.

Pengguna jalan raya yang menggunakan terowong terbabit dinasihatkan supaya merancang perjalanan susulan penutupan lorong kiri terowong tersebut.

PLUS dalam satu kenyataan berkata kerja-kerja penambahbaikan turapan jalan akan dilaksanakan secara berperingkat bermula 7 Feb sehingga 16 Feb antara pukul 9.00 malam sehingga 12.00 tengah hari setiap hari sepanjang tempoh tersebut.

Menurut kenyataan itu, laluan kontra akan diaktifkan secara berkala sekiranya perlu dan bergantung kepada keperluan semasa untuk membantu melancarkan pergerakan trafik di laluan terbabit.

Pengguna yang menghala ke selatan menghala ke Ipoh/Kuala Lumpur dinasihatkan supaya merancang perjalanan mereka dengan menggunakan Aplikasi PLUS untuk mendapatkan maklumat trafik terkini.

(Terowong Meru laluan Kuala Kangsar-Ipoh)

Pihak PLUS juga berharap agar pengguna jalan raya mematuhi semua papan tanda trafik serta arahan yang dikeluarkan oleh pihak PLUS dari masa ke masa ketika melalui kawasan kerja terbabit.

"Pengguna lebuh raya boleh menghubungi PLUSLine di 1800-88-0000 untuk mendapatkan maklumat trafik atau sekiranya ingin mendapatkan bantuan apabila berlaku kecemasan,” menurut kenyataan itu.

Media Baharu