fb fb fb fb fb

106 telenovela berentap pada Majlis Anugerah Telenovela Kali Ke-8

KUALA LUMPUR, 4 Februari- Sebanyak 106 telenovela akan berentap bagi merebut trofi lebih 40 kategori pada Majlis Anugerah Telenovela Kali Ke-8, malam ini.

Bagi tahun 2020 hingga 2022, karya-karya mestilah ditayangkan di televisyen atau stesen satelit atau stesen umum secara Free-to-Air (FTA) atau di pawagam untuk tontonan umum.

Yayasan Pembangunan Buku Negara dalam satu kenyataan memaklumkan, majlis anugerah kali ini diadakan bagi meneruskan agenda memilih karya-karya adaptasi “Book2Screen”, atau novel ke drama, telefilem dan filem serta satu bentuk penghargaan secara langsung buat warga kerja industri yang terdiri daripada anak-anak seni dan pemain industri kreatif tempatan.

"Ini bertepatan dengan pengiktirafan Kuala Lumpur sebagai Ibukota Buku Dunia oleh UNESCO, atau UNESCO – Kuala Lumpur World Book Capital 2020,"menurut kenyataan tersebut.

Anugerah kali ini adalah anjuran bersama Yayasan Pembangunan Buku Negara (YPBN) dengan kerjasama Majlis Profesor Negara (MPN), Gabungan Persatuan Penulis Nasional (GAPENA), Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) serta Persatuan Pengarah Filem Malaysia (FDAM).

Anugerah Telenovela telah menjadi acara tahunan berprestij bagi mengiktiraf dan meraikan kejayaan warga industri seni kreatif tempatan yang sentiasa menerbitkan karya berkualiti tinggi dan berpotensi untuk menembusi pasaran di peringkat global.

Tambah kenyataan itu, YPBN juga akan menganjurkan “KL International Telenovela Awards” yang dijadualkan pada bulan Oktober tahun ini.

"Penganjuran KL International Telenovela Awards ini akan melibatkan penyertaan pemain-pemain industri dari serata dunia yang akan berkumpul di Kuala Lumpur setiap tahun bagi meraikan
kejayaan warga industri kreatif yang terlibat menghasilkan naskhah telenovela di peringkat antarabangsa.

"Inisiatif ini sudah tentunya akan menjadi produk pelancongan utama negara yang akan memperkenalkan Malaysia sebagai destinasi pelancongan berteraskan seni dan budaya masyarakat majmuk yang harmoni, seterusnya menyumbang kepada hasil ekonomi negara," menurut kenyataan tersebut.


(Calon-calon Kategori Telenovela Popular 2021)

Media Baharu