fb fb fb fb fb

Lompat parti: Pindaan perlu terikat kepada ahli Dewan Negara, Anwar ucap terima kasih

(Ketua Pembangkang yang juga Ahli Parlimen Port Dickson, Datuk Seri Anwar Ibrahim)

KUALA LUMPUR, 11 April- Ahli Dewan Negara khususnya yang dilantik melalui Dewan Undangan Negeri (DUN) juga perlu terikat dengan Rang Undang-Undang (RUU) Perlembagaan (Pindaan) (No. 3) 2022 yang dibentang dan dibahaskan di Dewan Rakyat hari ini, iaitu berkaitan lompat parti.

Ahli Parlimen Padang Rengas, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz yang mencadangkan perkara itu berkata, kita sedia maklum bahawa sebahagian ahli Dewan Negara adalah ahli yang dilantik oleh Dewan Undangan Negeri yang turut mewakili Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan dan secara tidak langsung mereka di pilih oleh rakyat.

"Walaupun mereka tidak secara langsung dipilih (pilihan raya) tetapi telah dilantik daripada Dewan Undangan Negeri yang telah dipilih oleh rakyat... dan mereka juga merupakan ahli Dewan Negara,.. lantikan politik," jelasnya ketika membahaskan RUU tersebut hari ini.

Tambahnya, perkara itu diketengahkan kerana soal lompat parti melibatkan para senator pernah berlaku selepas PRU-14 (2018) apabila sebahagian besar ahli Dewan Negara yang dilantik melalui parti Barisan Nasional telah beramai-ramai keluar dan menyokong kerajaan Pakatan Harapan, (PH).


(Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz ketika membahaskan RUU Perlembagaan (Pindaan) (No. 3) 2022)  

"Walaupun ada kalangan ahli Dewan Negara menyatakan bahawa mereka neutral, mereka adalah orang yang dilantik mewakili kumpulan-kumpulan tertentu tetapi apa yang berlaku ahli Dewan Negara yang dilantik melalui DUN, tanpa disangka secara sukarela mereka melompat dan akhirnya mereka menolak satu rang undang-udang yang sepatutnya mereka sokong. Kita terkesan daripada sikap mereka," tambah Nazri.

Sementara itu, Ahli Parlimen Port Dickson, Datuk Seri Anwar Ibrahim menzahirkan ucapan terima kasih kepada Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob kerana mempersetujui supaya pindaan fasal baharu 3A ke dalam Perkara 10 (Perlembagaan Persekutuan) yang dikhususkan kepada soal pembelotan atau pemindahan parti.

Beliau berharap supaya kemasukan fasal baharu 3A itu memberikan satu pengertian khusus kepada maksud sebenar pindaan perlembagaan tersebut.

"Kerana seperti biasa kalau kita berikan ruang ini, seperti pengalaman yang dibahaskan di India, bila ada pindaan perlembagaan yang luas, kemungkinan kerajaan yang ada majoriti kecil menggunakan pindaan itu untuk mengadakan pindaan-pindaan lain yang bertentangan dengan semangat mungkin berlaku. Oleh yang demikian kita memohon supaya perkara 3A itu diperkemaskan," katanya ketika giliran Ketua Pembangkang membahasakan RUU itu.

Anwar turut mengusulkan supaya sesi berikutnya diadakan selewat-lewatnya sebelum akhir bulan Mei supaya pindaan perlembagaan itu dilakukan bersama dengan pembentangan RUU Anti-Lompat Parti.

Media Baharu