fb fb fb fb fb

Lokman Adam kekal dipenjara sebulan kerana hina mahkamah

PUTRAJAYA, 26 Oktober - Bekas Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Lokman Noor Adam kekal dipenjara sebulan selepas didapati bersalah menghina mahkamah kerana mengugut saksi pendakwaan dalam perbicaraan kes 1MDB membabitkan Datuk Seri Najib Tun Razak.

Keputusan itu dibuat sebulat suara oleh panel tiga hakim Mahkamah Rayuan iaitu Datuk Seri Kamaludin Md Said, Datuk Che Mohd Ruzima Ghazali dan Datuk Nordin Hassan.

(Datuk Lokman Noor Adam / FOTO FAIL)

Ketiga-tiga panel Hakim menolak rayuan Datuk Lokman pada hari ini untuk mengetepikan sabitan dan hukuman yang dijatuhkan oleh Mahkamah Tinggi sebelum ini.

Panel tiga hakim turut menolak rayuan silang dikemukakan pendakwaan terhadap hukuman penjara sebulan itu.

Pada 15 Julai tahun lalu, Mahkamah Tinggi memutuskan Datuk Lokman didapati bersalah menghina mahkamah kerana mengugut saksi pendakwaan utama yang juga bekas pegawai khas Datuk Seri Najib, Datuk Amhari Efendi Nazaruddin.

Media Baharu