(Foto Kpdn KEDAH)
BUKIT KAYU HITAM, 13 Julai- Sebuah stor di sini diserbu oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Kedah kerana disyaki menjadi lokasi transit penyelewengan minyak diesel.
Pengarahnya, Affendi Rajini Kanth berkata, serbuan menerusi operasi Ops Tiris pada Selasa itu dijalankan berdasarkan sumber risikan KPDN Putrajaya.
Premis berkenaan didapati berkunci dan tiada penghuni ketika operasi sekitar pukul 10.00 malam.
"Hasil pemeriksaan menemui empat unit IBC tangki berisi minyak disyaki diesel dengan anggaran 3,800 liter, satu unit IBC tangki kosong, dua unit Skid Tank dan peralatan disyaki digunakan untuk aktiviti penyelewengan.
"Nilai rampasan minyak diesel dianggarkan sebanyak RM8,170. Jumlah keseluruhan nilai rampasan dianggarkan sebanyak RM28,170," katanya dalam kenyataan.
Siasatan dilakukan mengikut Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961.
"KPDN serius dalam membanteras isu penyelewengan barang kawalan bersubsidi seperti minyak diesel yang diberikan oleh kerajaan. Tujuan pemberian subsidi adalah untuk mengimbangi kos sara hidup rakyat dan bukannya untuk diselewengkan dan seterusnya menafikan hak masyarakat yang sepatutnya menikmati subsidi tersebut.
"KPDN ingin memberi amaran keras dan menegaskan bahawa kementerian tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang didapati terlibat dalam sindiket dan aktiviti penyelewengan barang kawalan," katanya.
(Foto Kpdn KEDAH)