(Armila Beauty Kak ELL Pigment Booster)
PUTRAJAYA, 13 Julai- Orang ramai digesa mengelak daripada membeli serta menghentikan penggunaan produk kosmetik 'Pigment Booster' keluaran Armila Beauty Kak ELL kerana dikesan terkandung racun berjadual.
Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Muhammad Radzi Abu Hassan menerusi Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA) Kementerian Kesihatan (KKM) memaklumkan, produk berkenaan terkandung racun berjadual 'Betamethasone 17-Valerate' yang boleh menyebabkan kulit muka nipis dan mudah mengalami iritasi, berjerawat, perubahan pigmentasi kulit serta meningkatkan risiko untuk diserap ke dalam sistem peredaran darah yang boleh membawa kesan mudarat.
Justeru, pengguna produk terbabit dinasihat untuk merujuk ahli profesional kesihatan jika mengalami sebarang ketidakselesaan atau kesan advers.
"Susulan itu, notifikasi produk kosmetik berkenaan dibatalkan oleh Pengarah Lanan Perkhidmatan Farmasi KKM dan tidak lagi dibenarkan dijual di dalam negara.
"Penjual dan pengedar diingatkan supaya menghentikan penjualan dan pengedarannya dengan serta-merta kerana ia melanggar Peraturan-Peraturan Kawalan Dadah dan Kosmetik 1984," katanya dalam kenyataan.
Dr Muhammad Radzi berkata, mereka yang inggar boleh dikenakan hukuman denda tidak lebih RM25,000 atau penjara tidak lebih tiga tahun atau kedua-duanya untuk kesalahan pertama dan denda tidak lebih RM50,000 atau penjara tidak lebih lima tahun atau kedua-duanya untuk kesalahan berikutnya, manakala syarikat yang melakukan kesalahan boleh didenda sehingga RM50,000 untuk kesalahan pertama dan denda sehingga RM100,000 untuk kesalahan berikutnya.
"Orang awam digalakkan untuk menyemak status notifikasi sesuatu produk komestik dengan melayari laman sesawang rasmi NPRA - www.npra.gov.my atau menerusi aplikasi 'NPRA Product Status' yang boleh dimuat turun daripada Google Play Store," katanya.
(Kenyataan media KKM)