fb fb fb fb fb

Loji rawatan air hampiri paras kritikal, pengguna di Pendang dan Yan disaran membuat persediaan

ALOR SETAR, 11 Mei - Pengguna di daerah Pendang dan Yan di Kedah disaran membuat persediaan awal dengan menyimpan air serta menggunakan air secara berhemah.

Ini kerana Loji Rawatan Air (LRA) Jenun Lama dan Jenun Baru berada di tahap berjaga-jaga menghampiri paras kritikal.

Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Bekalan dan Sumber Air, Tenaga, Pengairan dan Saliran Negeri, Datuk Suraya Yaacob dalam kenyataan berkata LRA Jenun Lama dan LRA Jenun Baru beroperasi pada kapasiti 50% sejak petang semalam.

Manakala operasi LRA Pokok Sena dihentikan sepenuhnya sejak kelmarin.

Dijangkakan ianya akan melibatkan sekitar 38,500 akaun pengguna di sebahagian Kota Setar, Pokok Sena, Pendang dan Yan.


(Foto fail)

Beliau berkata Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) memaklumkan aliran air Sungai Santap dibuka semula malam tadi bagi membolehkan LRA Pokok Sena beroperasi semula.

Selepas mencapai paras minimum tahap mengepam, operasi LRA Pokok Sena akan dapat diaktifkan semula pada kadar 50% untuk memulihkan bekalan kepada pengguna di daerah Pokok Sena.

Lori tangki Syarikat Air Darul Aman (SADA) juga mula digerakkan ke kawasan yang terjejas sejak pagi semalam.

Jelas beliau, sebarang aduan dan pertanyaan boleh diajukan ke Bilik Gerakan Ibu Pejabat ditalian 04-7408976; Pusat Operasi Wilayah Kedah Utara 1 di talian 04-7340522; Pusat Operasi Wilayah Kedah Utara 2 di talian 04-7870980; dan Pusat Informasi SADA (SIC) di talian 1300 88 0017.

Media Baharu