WASHINGTON, 11 Mei - Malaysia akan menekankan ‘Kepaksian ASEAN’ dalam hubungan dengan Amerika Syarikat (AS).
Sebarang isu yang bakal dibincangkan pada Sidang Kemuncak Khas AS-ASEAN akan dilihat dari sudut pandang negara anggota.
Menteri Luar, Datuk Seri Saifuddin Abdullah turut menyifatkan Sidang Kemuncak khas kali ini sebagai menarik kerana ia berlaku dalam suasana pentabiran Presiden Joe Biden yang mengutarakan beberapa perkara baharu.
Hubungan perdagangan serta keselamatan serantau akan diberi fokus apabila Biden menjadi tuan rumah kepada pemimpin ASEAN pada 12 dan 13 Mei ini.
Meski tidak menjadi agenda utama Malaysia, konflik Rusia-Ukraine dijangka turut mendapat perhatian.
(Menteri Luar, Datuk Seri Saifuddin Abdullah)
Sidang kemuncak itu juga menawarkan peluang kritikal kepada Presiden Biden untuk merangka hala tuju baharu bagi strategi pelbagai hala yang lebih berkesan dalam menangani krisis politik di Myanmar.
"Jadi kita lihat bahawa ada perkembangan baru di pihak AS, ASEAN perlu perihatin terhadap perkara-perkara tersebut, sebab itu saya jangka Perdana Menteri (Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob) antara lain akan menekankan 'ASEAN Centrality' (Kepaksian ASEAN) dari segi hubungan ASEAN-AS."
"AS boleh tukar dasar, boleh tukar pentadbiran dan kita hormati mereka dari segi itu namun Malaysia seperti mana biasa kita dengan pendirian 'ASEAN Centrality' itu, maknanya boleh bincang isu ekonomi, isu geo politik tetapi kita akan melihat dari sudut pandang kita dan dari sudut pandang ASEAN," kata beliau kepada media Malaysia, di sini.
Sidang Kemuncak Khas kali ini adalah yang kedua sejak tahun 2016, dan bakal menyaksikan pembabitan lapan daripada 10 pemimpin ASEAN.
Presiden Filipina, Rodrigo Duterte akan melepaskan jawatan pada bulan Jun, manakala pemimpin junta Myanmar, Min Aung Hlaing tidak menerima jemputan.