fb fb fb fb fb

Banjir kilat di Bentong, beberapa kampung terjejas

BENTONG, 11 Mei - Hujan lebat berterusan sejak malam tadi mengakibatkan beberapa kampung di Janda Baik mengalami kejadian banjir kilat.

Susulan itu, 42 keluarga terlibat termasuk 12 keluarga di Kampung Sum Sum dipindahkan agensi penyelamat manakala 30 keluarga di Kampung Chemperoh berpindah sendiri.

Kampung Pulau Santap dan Kampung Chemperoh paling teruk terjejas dalam kejadian kira-kira pukul 5.30 pagi tadi.

Penolong Pengarah (Operasi) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Ismail Abdul Ghani berkata sepasukan pegawai dan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Bentong dibantu Pasukan Bomba Sukarela (PBS) berjaya memindahkan penduduk terjejas awal pagi tadi.

Katanya, pihak bomba menerima panggilan kecemasan pada pukul 5.27 pagi, sebelum 30 pegawai dan anggota bersama tiga jentera dikejarkan ke lokasi kejadian.

Sehingga kini katanya, pemantauan berterusan masih dilakukan berikutan keadaan cuaca masih kurang baik.

(Kediaman dan kenderaan rosak akibat banjir kilat)

Sementara itu, satu kejadian tanah runtuh juga berlaku di laluan masuk ke Kampung Janda Baik dan laluan antara Kampung Sum Sum dan Kampung Chemperoh.

Laluan itu sudah ditutup kepada pengguna bagi kerja-kerja pembersihan lumpur dan serpihan batu.

Sebuah jentera milik JBPM Pahang turut terkandas akibat lumpur tebal ketika dalam perjalanan menghala ke Kampung Chemperoh bagi tugas memindahkan penduduk terjejas akibat banjir kilat itu.

Media Baharu