fb fb fb fb fb

Liputan internet perlu telus, rakyat berhak nikmati perkhidmatan sepanjang masa - Datuk Fahmi

Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil arah MCMC semak semula angka liputan internet mengikut negeri dan operator bagi mendapat gambaran sebenar tentang capaian perkhidmatan

CYBERJAYA, 17 Mei - Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil mengarahkan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) menyemak semula angka liputan internet mengikut negeri dan operator bagi mendapat gambaran sebenar tentang capaian perkhidmatan.

Menurut beliau, angka liputan kawasan berpenduduk (CoPA) sebanyak 92 peratus yang sering diumumkan adalah angka komposit dan tidak mencerminkan realiti sebenar.

“Kita sering mendengar angka 92 peratus liputan, tetapi itu adalah purata. Bila diteliti, ada telco hanya capai 76 peratus, ada pula 86 peratus. Ini bermakna liputan tidak sekata, dan rakyat tidak seharusnya membayar untuk perkhidmatan yang hanya berfungsi di lokasi tertentu,” katanya selepas merasmikan sambutan Hari Telekomunikasi Sedunia.

Jelasnya lagi, kerajaan mahu semua syarikat telekomunikasi bekerjasama melalui konsep network sharing, agar liputan internet dapat dinikmati secara menyeluruh.

“Rakyat bayar untuk liputan di seluruh negara. Perkhidmatan itu mesti boleh digunakan di mana-mana, bukan hanya di satu tempat,” tegasnya.

Tambah beliau, kerajaan kini telah memformalkan satu kerangka baharu melalui konsep Multi Operator Core Network (MOCN) yang membolehkan semua syarikat telco berkongsi infrastruktur secara lebih menyeluruh.

Pendekatan ini bukan sahaja dapat mengurangkan kos pembinaan menara baharu, malah mempercepatkan peluasan liputan ke kawasan luar bandar dan pedalaman.

MOHD ZAMBRI BIN SUHARANI