fb fb fb fb fb

Pengendali platform media sosial perlu lebih bertanggungjawab bendung penipuan dalam talian

Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil ditemui selepas menyempurnakan Sambutan Hari Telekomunikasi dan Masyarakat Berinformasi Sedunia (WTISD) 2025 di Cyberjaya

CYBERJAYA, 17 Mei - Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil menyelar sikap sambil lewa  pengendali platform media sosial seperti Facebook yang didakwa gagal mengambil tindakan terhadap iklan penipuan termasuk perjudian dan pelaburan palsu, meskipun aduan telah dikemukakan.

“Saya sering menerima aduan mengenai iklan judi dan pelaburan palsu di media sosial, termasuk di Facebook. Malangnya, platform tersebut tidak mengambil tindakan yang tegas walaupun laporan dibuat. Ini berlaku kerana iklan-iklan itu dibayar, maka mereka lebih utamakan keuntungan,” katanya.

Beliau turut mendedahkan bahawa terdapat kes penyalahgunaan gambar tokoh terkenal termasuk Profesor Dr Muhaya dan beberapa doktor pakar untuk menjual produk palsu, sehingga mereka menerima surat amaran daripada Kementerian Kesihatan.

“Saya sendiri terpaksa menghubungi pihak Facebook untuk mengarahkan iklan palsu tersebut diturunkan. Perkara seperti ini tidak seharusnya berlaku,” tegasnya.

Mengulas lanjut, beliau menegaskan kerajaan memandang serius isu keselamatan digital dan menuntut agar semua platform media sosial bertanggungjawab terhadap kandungan yang dipaparkan.

“Penguatkuasaan lebih tegas amat diperlukan apabila platform-platform ini gagal bertindak terhadap kandungan berbahaya walaupun sudah dilaporkan,” ujarnya.

Sebagai langkah proaktif, kementerian dalam proses memperkenalkan aplikasi keselamatan digital dan merangka rang undang-undang baharu bertujuan memastikan platform media sosial lebih bertanggungjawab dan proaktif mengekang kandungan mempunyai unsur penipuan

Dalam masa sama, kempen Internet Selamat turut diperluaskan ke sekolah bagi mendidik kanak-kanak tentang risiko dunia maya, termasuk pautan palsu, cubaan godaman akaun, dan penipuan bantuan palsu.

“Kesedaran rakyat perlu ditingkatkan. Ramai yang tidak sedar klik pada satu pautan pun boleh menyebabkan mereka hilang akses ke akaun media sosial. Sebab itu kita galakkan pendidikan keselamatan digital dari peringkat awal,” jelasnya.

Beliau turut memaklumkan, rang undang-undang berkaitan keselamatan digital telah dibentangkan di Parlimen dan kini menunggu perkenan Yang di-Pertuan Agong sebelum dikuatkuasakan.

MOHD ZAMBRI BIN SUHARANI