fb fb fb fb fb

Situasi Covid-19 masih terkawal di Malaysia

Foto Fail

PUTRAJAYA, 17 Mei - Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad memaklumkan situasi semasa COVID-19 di Malaysia kekal stabil dengan purata mingguan kes yang rendah serta tiada kematian direkodkan sepanjang tahun 2025.

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) terus memantau rapi perkembangan semasa COVID-19, susulan peningkatan kes yang dilaporkan di negara jiran.

Menurut data KKM, sebanyak 11,727 kes dilaporkan dari Minggu Epidemiologi (ME) 1 hingga ME19 tahun ini, iaitu sehingga 10 Mei 2025. Malaysia mencatat purata sekitar 600 kes seminggu, jauh di bawah paras amaran kebangsaan.

Tambah beliau, sebarang perkembangan semasa dan amaran berkaitan akan terus disalurkan kepada Pusat Kesiapsiagaan dan Tindak Cepat Krisis (CPRC) untuk penilaian risiko secara berterusan serta pelaksanaan langkah kesiapsiagaan yang bersesuaian.

KKM juga menyeru orang ramai untuk terus berwaspada, mengamalkan langkah pencegahan kendiri seperti pemakaian pelitup muka dan penjarakan fizikal di tempat sesak, serta segera mendapatkan rawatan sekiranya bergejala, khususnya bagi golongan berisiko tinggi.

Menurut laporan media, Thailand telah merekodkan 16,607 kes baharu dan enam kematian akibat COVID-19 dalam tempoh 4 hingga 10 Mei.

Manakala di Singapura, sebanyak 14,200 kes baharu direkodkan dari 27 April hingga 3 Mei, meningkat berbanding 11,100 kes minggu sebelumnya dengan 133 pesakit dimasukkan ke hospital.

MOHD ZAMBRI BIN SUHARANI