fb fb fb fb fb

Liputan internet di pedalaman semakin baik, impak video tular Veveonah

Veveonah Mosibin

SHAH ALAM, 30 Disember- Kesungguhan mahasiswa Veveonah Mosibin yang pernah tular kerana memanjat pokok untuk mendapatkan liputan internet bagi menduduki peperiksaan dalam talian pada tahun 2020 mendapat perhatian ramai.

Pemegang Ijazah dalam Ijazah Sains Marin dari Universiti Malaysia Sabah (UMS) itu berkata impak positif video berkenaan membuahkan hasil buktinya kemudahan liputan internet di kawasan pedalaman semakin baik.

"Selepas video itu tular, ia sangat membantu kepada komuniti. sebelum ini ada tempat terutama tempat saya belum ada elektrik dan sambungan internet.

"Terima kasih juga kepada pensyarah yang berkongsi video berkenaan. Sekarang memang ada pembangunan dari segi infrastruktur dan internet. Jalan raya di kampung saya juga semakin baik," katanya kepada RTM.

Video tular itu membuka mata ramai pihak berkenaan kegigihan Veveonah untuk terus belajar biarpun mempunyai pelbagai kekangan.

"Pendorong utama saya ialah keluarga saya sebab saya daripada keluarga B40. Jadi saya nampak kesusahan kehidupan di kawasan saya.

"Selain itu guru-guru dan juga pensyarah banyak memberi nasihat kepada saya untuk fokus dalam pembelajaran," katanya lagi.

Anak bongsu daripada lima beradik itu berjaya menamatkan pengajian Sains Marin di Universiti Malaysia Sabah (UMS), dan kini beralih ke bidang kedoktoran di Management and Science University (MSU).

"Kakak saya juga menjadi penguat semangat saya biarpun dia bukan aliran sains tulen. Dia juga berjaya menamatkan pengajian empat tahun dalam bidang jururawat dan kini bekerja dalam bidang sama," katanya.

Sehingga kini kisah Veveonah masih tular dan menjadi bualan, sekali gus menjadi tauladan buat generasi muda.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI