KUALA LUMPUR, 30 Disember- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menyertai pemimpin dunia berkongsi kesedihan atas kematian bekas Presiden Amerika Syarikat, Jimmy Carter yang meninggal dunia pada usia 100 tahun.
Beliau menerusi satu hantaran di Facebook menyifatkan Carter sebagai seorang pemimpin penuh dedikasi dalam memberikan perkhidmatan kepada negara dan konsisten perjuangkan hak asasi kemanusiaan.
"Carter juga sedia menentang teori politik elit Amerika Syarikat dalam hal penting seperti peperangan dan keamanan antaranya, Dialog Cuba, perjuangkan pelucutan senjata nuklear di Semenanjung Korea dan mengecam pencerobohan Iraq.
"Saya percaya tiada siapa dapat menafikan keberanian Presiden ke-39 Amerika Syarikat itu dalam meletakkan prinsip melebihi politik berhubung isu Palestin," menurut hantaran itu.
Selain itu Carter berani membangkitkan isu sensitif politik Amerika Syarikat, menggelar tindakan Israel di Palestin sebagai mengamalkan dasar apartheid dan berdepan kritikan pedas pro-Israel.
Sehingga ke akhir hayat, Carter tetap teguh memperjuangkan kedamaian dan keadilan sejagat.