fb fb fb fb fb

PWS catat hartanah wakaf seluas 28.8 hektar

Anuar Hamzah Tohar

SHAH ALAM, 30 Disember- Perbadanan Wakaf Selangor (PWS) berjaya mencatatkan sejumlah hartanah wakaf 28.8 hektar dengan nilai sebanyak RM36.2 juta, tahun lalu.

Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Wakaf Selangor (PWS), Anuar Hamzah Tohar berkata daripada jumlah itu, daerah Sabak Bernam merupakan penyumbang terbesar kepada hartanah wakaf di negeri itu dengan jumlah terkumpul 14.2 hektar.

"Ini menunjukkan bahawa masyarakat sudah mula sedar tentang berwakaf dan sebahagian besarnya mengatakan, tanah ini boleh digunakan untuk manfaat sama ada disewakan sama ada tanah ini dibangunkan untuk pertanian dan sebagainya.

"Kita juga ada beberapa projek-projek tanah yang diwakaf kalau boleh saya kongsikan di sini, seperti saudagar nanas di Sungai Merab, itu di atas tanah wakaf," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada sidang akhbar semasa Majlis Meet And Greet Bersama Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Wakaf Selangor di sini.

Sementara itu, PWS berjaya mengutip sebanyak RM60 juta berbanding sasaran kutipan RM112 juta dana wakaf pada tahun ini.

Daripada jumlah itu, sebanyak RM2.4 juta wakaf fisabilillah diagihkan kepada 69 institusi yang telah menerima kelulusan permohonan masing-masing.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI