fb fb fb fb fb

Liputan 5G di Ipoh akan diperluas

IPOH, 3 Februari- Perak akan memperluaskan liputan internet berkelajuan tinggi 5G di daerah Kampar dan Batu Gajah selepas merealisasikannya di Ipoh.

Exco Komunikasi, Multimedia dan NGO Perak Mohd Azlan Helmi berkata, inisiatif di bawah ‘Greater Ipoh’ itu bertujuan bagi memastikan semua daerah di Lembah Kinta akan memperoleh capaian internet berkenaan pada masa hadapan.

"Oleh itu di pihak kerajaan negeri kita akan berbincang dalam MMK dan sebagainya untuk menubuhkan majlis digital dan sebagainya dalam masa terdekat.

"Untuk menyelaraskan pembangunan 5G di Perak data akan dikumpulkan supaya lebih tersusun bagi memperluaskannya," katanya kepada pemberita selepas menghadiri Taklimat 5G dan Lawatan Ke Pusat Operasi Bersepadu Ipoh di Pusat Transformasi Bandar (UTC) Perak di Ipoh.

Hadir sama, Exco Perumahan dan Kerajaan Tempatan Negeri, Sandrea Ng Shy Ching serta Datuk Bandar Ipoh, Datuk Rumaizi Baharin.

Datuk Rumaizi turut berkata, "setakat ini lebih 40% kawasan di seluruh Ipoh telah menerima capaian akses 5G berkelajuan 1 gigabit per saat (Gbps) yang merangkumi antaranya Pusat Bandar, Tambun, Bercham, Meru, Klebang dan Pasir Puteh."

Menjelang akhir tahun, dianggarkan 80% kawasan di seluruh Ipoh bakal menikmati capaian internet 5G.

(Mohd Azlan Helmi)

Media Baharu