fb fb fb fb fb

Lipis daerah baharu dilanda banjir

Situasi banjir di Pahang yang dirakam dari pemandangan atas/RTM

RAUB, 11 November- Lipis menjadi daerah baharu dilanda banjir selepas Raub, meningkatkan jumlah penduduk terjejas di Pahang setakat pukul 9.00 pagi tadi.

Seramai 441 penduduk daripada 127 keluarga terlibat di dua daerah dengan lapan pusat pemindahan sementara (PPS) telah dibuka.

Menurut Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), sebanyak dua PPS dibuka di Lipis, menempatkan 218 penduduk daripada 61 keluarga.

PPS tersebut ialah Sekolah Kebangsaan (SK) Kechaui Tui (133 orang daripada 34 keluarga) dan Dewan Semai Bakti Felda Kechaui (85 orang daripada 27 keluarga).

Di Raub yang mula dilanda banjir pada awal pagi semalam mencatatkan peningkatan jumlah penduduk terjejas kepada 223 orang daripada 66 keluarga di enam PPS.

Antara PPS terbabit ialah Dewan Orang Ramai Kampung Tok Machang, Masjid Kampung Pintu Padang, Pusat Kegiatan Kemas Gali, Dewan Serbaguna Kampung Ulu Gali, Sekolah Menengah Agama (SMK) Al-Fallah Batu Talam dan Balai Raya Kampung Sungai Pasu.

Menurut laman sesawang infobanjir.water.gov.my, enam sungai di Pahang kini berada di tahap waspada iaitu Sungai Jelai di Jeram Bungor, Sungai Jelai Kuala Medang, Sungai Jelai Jeti Lipis, Sungai Dong di Kampung Peruas (Raub), Sungai Luit di Kampung Subuh (Maran) dan Sungai Mentiga di Jambatan Chini (Pekan).

SITI AISHAH MD ISA