fb fb fb fb fb

KPDN tahan tiga individu disyaki jual minyak pelincir kenderaan tiruan

Anggota penguat kuasa KPDN melakukan pemeriksaan cap dagangan minyak pelincir / Foto KPDN

PUTRAJAYA, 11 November – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) menahan tiga individu lelaki warga tempatan kerana disyaki menjual minyak pelincir dan minyak transmisi automatik kenderaan tiruan.

Ketua Pengarah Penguat Kuasa KPDN Datuk Azman Adam berkata kesemua suspek berumur lingkungan 30 tahun mengaku bertanggungjawab ke atas premis terbabit ditahan untuk membantu siasatan.

"Serbuan dilakukan ke atas tiga buah premis berasingan melibatkan dua buah premis di Kuala Lumpur dan sebuah premis di Selangor pada 5 November lepas.

"Modus operandi ketiga-tiga premis ini adalah dengan mengedar barangan terbabit untuk pasaran di sekitar Lembah Klang dan turut menjual secara dalam talian kepada penguna melalui platform pasar dalam talian, " katanya menerusi kenyataan, hari ini.

Tambahnya, kesemua barangan tersebut bersama beberapa dokumen perniagaan lain telah disita bagi tujuan siasatan dengan nilai rampasan keseluruhan dianggarkan berjumlah RM396,469.

Hasil pemeriksaan lanjut ke atas semua premis terbabit, pasukan serbuan telah menemukan sejumlah 3,631 unit minyak pelincir, 3,605 minyak transmisi automatik, 710 unit penyejuk radiator, 190 unit penapis udara kenderaan yang disyaki dipakaikan cap dagangan secara salah di bawah Akta Cap Dagangan 2019 (Akta 815).

Operasi yang dilakukan itu adalah hasil aduan daripada wakil pemilik cap dagangan berdaftar serta risikan awal yang telah dilakukan pihak KPDN.

Trainee