fb fb fb fb fb

Lima teras strategi atasi isu bantut, obesiti kanak-kanak

Dr. Dzulkefly Ahmad

KUALA LUMPUR, 15 Oktober- Pelaksanaan Pelan Strategik Kebangsaan Memerangi Masalah Beban Berganda Malpemakanan Dalam Kalangan Kanak-Kanak Malaysia 2023-2030 bertujuan memastikan pendekatan yang lebih komprehensif untuk mengatasi isu bantut dan obesiti bagi golongan berkenaan.

Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad menyatakan pelan berkenaan akan mempercepatkan usaha membendung malpemakanan dalam kalangan kanak-kanak demi membina masyarakat sihat daripada peringkat awal usia.

"Sebanyak lima teras strategi dan 31 inisiatif telah digariskan dalam pelan strategik ini, dengan penekanan kepada pengukuhan tadbir urus kesejahteraan pemakanan melalui perundangan, komitmen politik dan pihak berkepentingan.

"Ini termasuk meningkatkan kualiti serta akses perkhidmatan pemakanan dan pemantapan persekitaran serta masyarakat yang kondusif," jelasnya dalam sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab soalan Ahli Parlimen Kuala Nerus, Datuk Dr. Alias Razak mengenai perancangan Kementerian Kesihatan (KKM) untuk mewujudkan dokumen induk seperti Pelan Tindakan Pemakanan Kanak-Kanak bagi menyelesaikan isu pemakanan kanak-kanak.

Tambahnya, pelan itu menyasarkan impak khusus kepada kanak-kanak, remaja, wanita dalam usia reproduktif, serta kumpulan rentan dan dirangka untuk menggembleng tenaga secara bersepadu serta efektif dalam pelaksanaan strategi, program dan aktiviti yang digariskan.

SITI AISHAH MD ISA