fb fb fb fb fb

LIMA'23: Pemangku Raja Perlis melawat pameran maritim di Resort World

LANGKAWI, 25 Mei- Seluruh anggota pasukan pertahanan negara diseru untuk sentiasa bersedia dan mempersiapkan diri bagi menghadapi sebarang kemungkinan. 

Sekiranya semua pihak bergerak seiring dan teguh bersatu, kita akan dapat menghadapi apa jua bentuk cabaran yang mendatang.

Pemangku Raja Perlis, Brigedier Jeneral Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah, semua petugas barisan hadapan negara diseru agar terus merapatkan barisan dan bekerja dalam satu pasukan sebagai benteng pertahanan negara dan memberi jasa bakti agar dapat diwariskan kepada generasi akan datang.

Ketidaktentuan geo politik dan geo-ekonomi dunia berpotensi mengakibatkan krisis ekonomi yang akan mengurangkan kemampuan kita untuk melaksanakan usaha pembangunan keupayaan pertahanan secara menyeluruh.

Selain itu, perkembangan sains dan teknologi yang begitu pesat akan memberikan kita lebih cabaran untuk menyediakan sumber manusia yang berkepakaran serta aset-aset khusus untuk menghadapi ancaman bentuk baru yang dibawa hasil daripada perkembangan teknologi

Demikian titah baginda selepas berkenan melawat Kapal Francesco Morosini iaitu sebuah kapal peronda pesisir luar termoden milik Angkatan Tentera Laut Itali di Resort World, Langkawi.

Berangkat sama, Raja Puan Muda Perlis Mejar (Kehormat) Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil.

Taklimat mengenai kapal perang Francesco Morosini disampaikan oleh Komander Giovanni Monno yang turut membawa baginda berdua melawat keseluruhan kapal perang berkenaan termasuklah sistem persenjataan, helikopter dan pusat kawalan operasi kapal.

Baginda berdua seterusnya melawat kapal mengangkut kereta kebal Roks Nojoekbong milik Angkatan Tentera Laut Korea Selatan dan diberi taklimat oleh Kapten Kim Sang Hyun dan turut dibawa melawat sekitar kapal.


(Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail dan Tuanku Hajah Lailatul
Shahreen Akashah Khalil melawat Kapal Francesco Morosini)


(Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail dan Tuanku Hajah Lailatul
Shahreen Akashah Khalil melawat  kapal mengangkut kereta kebal Roks Nojoekbong)

Media Baharu