LANGKAWI, 25 Mei - Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) hari ini menandatangani perjanjian persetujuan (MoA) dengan Malaysia Institute Of Aviation Technology (UniKL MIAT), Global Turbine Asia (GTA) dan Augmented Knowledge Corporation, Korea Selatan (AK Corp) bagi membangunkan penyelidikan pendidikan dalam bidang teknologi penerbangan.
Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata persetujuan kerjasama industri akademik itu bermatlamat untuk membangunkan Metaverse Centre for Aviation/Aerospace (MC4A) di UniKL Malaysian Institute of Aviation Technology (MIAT) yang akan digunakan sebagai pusat penerbangan aeroangkasa.
“Perkongsian kepakaran, bimbingan serta pembangunan latihan hasil daripada kerjasama empat pihak ini membolehkan pelajar meneroka serta mempelajari penerbangan, cara baharu dan menyesuaikan diri dengan teknologi maju dalam industri ini,” Katanya pada majlis pertukaran dokumen MoA di Pameran Maritim dan Aeroangkasa Antarabangsa Langkawi (LIMA '23), di sini.
Majlis pertukaran dokumen MoA turut disaksikan Ketua Setiausaha KPT, Datuk Seri Abdul Razak Jaafar,Presiden UniKL Datuk Dr. Roziah Omar serta Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti UPSI, Puan Seri Datuk Rohani Parkash Abdullah.
Sementara itu, Naib Canselor UPSI, Profesor Datuk Dr Md Amin Md Taff berkata sebagai universiti peneraju pendidikan negara, UPSI sentiasa proaktif membangunkan inovasi selaras dengan perkembangan teknologi dan pendigitalan pendidikan negara.
“Menerusi kerjasama ini, UPSI optimis membuka ruang usahasama dalam pembangunan pendidikan dengan penyertaan pihak organisasi tempatan mahupun luar negara selaras hasrat KPT mengantarabangsa pendidikan peringkat global,” katanya.
Tambah Dr. Md Amin, UPSI akan berperanan sebagai pakar pembangunan modul instruksional pendidikan dan latihan digital dalam memperkenalkan bahan bantu mengajar digital berdasar teknologi metaverse (AR-VR- MR-XR) bagi bidang teknologi penerbangan dan ilmu enjin pesawat selaras dengan hasrat KPT dalam menjayakan inisiatif pendidikan digital di Malaysia.