KUCHING, 14 Jun- Persatuan Bolasepak Negeri Sarawak bakal menganjurkan Liga Premier peringkat negeri bermula tahun ini, dengan edisi sulung dijangka membuka tirai seawal September depan.
Presidennya, Datuk Fazzrudin Abdul Rahman berkata, liga berkenaan akan melibatkan penyertaan semua 12 bahagian di Sarawak.
Menurutnya, penganjuran liga tersebut bukan sahaja bertujuan mencungkil bakat baharu tempatan, malah sebagai usaha memeriahkan kembali arena bola sepak di peringkat akar umbi seluruh negeri.
"Kita mahu strukturkan liga ini dengan betul supaya ia dapat bertahan. Untuk bina satu pasukan, bukan sekadar ada duit, sebab itu kita mulakan dari peringkat akar umbi," jelasnya dalam sidang media di Kuching, pagi tadi.
Tambah beliau, pihaknya turut memohon sedikit masa untuk menstrukturkan semula pasukan bola sepak Sarawak sebelum bersaing di peringkat lebih tinggi.
Ketika ini, hanya satu pasukan mewakili Sarawak dalam saingan liga utama tanah air, iaitu Kuching City FC.