fb fb fb fb fb

Subjek Pendidikan Jasmani penting bentuk atlet negara- Penganalisis

Pensyarah Kanan Fakulti Sukan dan Sains Ekesais Universiti Malaya, Dr. Nasnoor Juzaily Mohd Nasiruddin ditemui RTM selepas menjadi tetamu rancangan Selamat Pagi Malaysia

KUALA LUMPUR, 14 Jun- Malaysia mungkin masih menanti pingat emas Olimpik sulung, namun usaha untuk menjejak podium dunia tidak seharusnya bermula di peringkat kebangsaan.

Sebaliknya, akar kepada kejayaan itu perlu disemai seawal di bilik darjah dan padang sekolah melalui subjek Pendidikan Jasmani.

Pensyarah Kanan Fakulti Sukan dan Sains Ekesais Universiti Malaya, Dr. Nasnoor Juzaily Mohd Nasiruddin berkata, Pendidikan Jasmani (PJ) memainkan peranan penting dalam mencungkil dan membentuk potensi atlet sejak usia muda.

“Kebanyakan atlet elit negara didedahkan kepada sukan melalui subjek ini. Jika mereka diajar teknik yang betul sejak awal, jurulatih di peringkat lebih tinggi tidak perlu membetulkan asas mereka lagi,” jelasnya.

Menurut beliau, Pendidikan Jasmani bukan sekadar aktiviti fizikal biasa, sebaliknya merupakan wadah pertama bagi pelajar mengenali pelbagai jenis sukan dan membina asas kecergasan secara menyeluruh.

Namun begitu, dalam usaha menjadikan subjek tersebut sebagai teras pembangunan atlet masa depan, beliau menegaskan keperluan melatih guru PJ secara lebih profesional dan progresif di peringkat universiti dan institut pendidikan guru.

“Kreativiti guru perlu diasah sejak di peringkat universiti. Pendidikan Jasmani ini mampu mengajar pelbagai konsep merentas kurikulum bukan sekadar lari, lompat atau baling sahaja,” katanya.

Jelasnya lagi, seorang guru PJ perlu dilengkapi kreativiti dan kefahaman interdisiplin kerana subjek itu sendiri boleh dijadikan medium untuk memperkenalkan konsep dari subjek lain seperti biologi, matematik atau kesihatan awam.

Dr. Nasnoor turut mencadangkan agar satu lesen profesional diwujudkan khusus untuk guru PJ, sebagaimana pengamal perubatan atau jurutera mempunyai badan pentauliahan masing-masing.

“Pendidikan Jasmani adalah bidang yang sangat khusus. Bukan semua cikgu boleh ajar PJ. Sebab itu saya cadangkan satu lesen profesional khas untuk guru-guru PJ. Barulah ada pengiktirafan yang setara dengan profesion lain,” katanya.

Mengakhiri pandangannya, beliau menyeru agar pemimpin tertinggi negara sendiri mengangkat suara menyokong subjek ini.

“Di Amerika Syarikat, Presiden John F.Kennedy pernah keluarkan kenyataan rasmi tentang pentingnya rakyat yang kuat fizikal dan mental. Mungkin pemimpin kita, PMX boleh lakukan perkara sama. Satu deklarasi nasional,” katanya.

Baginya, Pendidikan Jasmani bukan sekadar subjek ringan, tetapi satu bentuk pelaburan jangka panjang negara untuk membentuk generasi yang sihat, cergas dan kompetitif termasuk di pentas sukan dunia.

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE