BAGAN DATUK, 14 Jun - Mana-mana pihak diingatkan agar tidak mempermainkan agenda penyatuan Melayu hanya sebagai gimik politik selepas gagal meraih sokongan rakyat.
Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, usaha menyatukan bangsa Melayu perlu berlandaskan niat yang ikhlas dan tulen, bukan semata-mata untuk mencipta persepsi atau menutup kegagalan politik lampau.
Beliau yang juga Presiden UMNO menegaskan, UMNO telah lama memperjuangkan agenda perpaduan sejak penubuhannya pada tahun 1946, apabila berjaya menyatukan NGO-NGO Melayu ketika itu dalam satu gerakan yang berprinsip dan terarah.
"Itulah yang tercatat dalam perlembagaan...Malah memperjuangkan kedaulatan Raja-raja Melayu termaktub dalam perlembagaan UMNO dan mempertingkatkan syiar Islam. UMNO menjunjung kedudukan istimewa orang Melayu yang juga terdapat dalam perlembagaan.” katanya.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Bagan Datuk di Kompleks UMNO Bahagian Bagan Datuk, hari ini.
Beliau turut menyarankan semua pihak agar menyatukan tenaga dan pemikiran berdasarkan fikrah, jati diri dan semangat sebenar, bukan sekadar strategi politik bermusim.