fb fb fb fb fb

Lif monorel dibuka berperingkat

Lapan lif di lima stesen monorel di sekitar bandar raya ini kini beroperasi sepenuhnya secara peringkat. /Foto Bernama

KUALA LUMPUR, 18 Mei- Lapan lif di lima stesen monorel di sekitar bandar raya ini kini beroperasi sepenuhnya secara peringkat selepas menjalani proses naik taraf, pemeriksaan dan pematuhan peraturan keselamatan ditetapkan agensi berkaitan.

Ia membabitkan satu kemudahan, masing-masing di Stesen Hang Tuah dan Raja Chulan serta masing-masing dua di Stesen Imbi, Maharajalela dan Medan Tuanku.

Rapid Rail Sdn Bhd dalam satu kenyataan hari ini, memaklumkan inisiatif itu untuk meningkatkan keselesaan dan aksesibiliti pengguna, khususnya warga emas, orang kurang upaya (OKU) serta keluarga membawa anak kecil atau menggunakan kereta sorong bayi.

"Baki lapan lif, termasuk satu eskalator di enam stesen berikutnya kini sedang menjalani fasa akhir ujian pentauliahan serta pengeluaran permit mesin angkat yang dijangka siap sepenuhnya menjelang akhir bulan ini," katanya.

Selain itu, naik taraf kemudahan itu dibiayai sebahagian daripada peruntukan RM12.6 juta yang membabitkan pelbagai inisiatif penambahbaikan di semua 11 stesen monorel.

"Ia termasuk pemasangan sistem pintu platform automatik dan lif platform untuk kerusi roda yang telah mula beroperasi sejak Disember lalu serta kerja pembaikan lif dan eskalator," katanya.

Menurut Rapid Rail, perkhidmatan monorel mencatatkan purata 57,000 penumpang harian pada tahun lalu, iaitu peningkatan sebanyak 8 peratus berbanding tahun sebelumnya.

"Peningkatan ini menandakan pemulihan yang berterusan serta pertumbuhan positif dalam penggunaan pengangkutan awam di kota. la turut menunjukkan keyakinan pengguna semakin meningkat dan monorel kembali menjadi pilihan utama warga kota untuk perjalanan harian mereka.

"Dengan jumlah penumpang yang terus meningkat, kemudahan lif yang mesra pengguna amat penting bagi memastikan pergerakan penumpang di stesen berjalan lancar serta memberi pengalaman perjalanan yang lebih selesa dan selamat untuk semua.

"Kami amat berharap agar kemudahan lif yang disediakan ini dapat dimanfaatkan sebaiknya dengan keutamaan diberikan kepada golongan memerlukan. Rapid Rail akan terus komited memastikan sistem pengangkutan awam efisien, mudah diakses dan inklusif untuk semua," katanya.

Penumpang yang menghadapi sebarang isu berkaitan kemudahan atau perkhidmatan boleh menghubungi atau menghantar mesej kepada bahagian khidmat pelanggan Rapid KL di talian 03-78852585.

MOHAN CHINNASAMY