GOPENG, 18 Mei- Seorang remaja lelaki berusia 18 tahun yang dilaporkan hilang selepas cuba menyeberangi sebuah lombong di Jalan Kilang Simen, Kota Bharu semalam, ditemui lemas pagi ini oleh pasukan penyelam Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM).
Mangsa, Muhammad Fazrul Qusry, ditemukan tidak bernyawa pada pukul 9.40 pagi, kira-kira 15 kaki dari lokasi terakhir dia dilihat oleh rakannya.
Menurut kenyataan dari Pusat Gerakan Operasi JBPM Negeri Perak, kejadian dilaporkan berlaku sekitar pukul 6.49 petang semalam selepas mangsa gagal timbul semula ketika berenang menyeberangi lombong berkenaan.
Rakan mangsa yang menyedari kehilangannya cuba mencari di sekitar kawasan itu selama 30 minit sebelum menghubungi talian kecemasan MERS999.
Pasukan dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Gopeng yang tiba di lokasi pada jam 7.10 malam segera memulakan operasi pencarian bersama pihak polis.
Operasi yang dilakukan secara ‘surface searching’ menggunakan bot terpaksa ditangguhkan pada jam 11.15 malam kerana cuaca gelap, dan disambung semula pagi ini oleh pasukan Penyelam (PPDA).
Selaman yang dimulakan pada jam 9.28 pagi membuahkan hasil apabila mayat mangsa berjaya dikesan 12 minit kemudian di sektor dua, berhampiran kawasan mangsa dipercayai memancing.
Operasi menyelamat melibatkan kekuatan bomba termasuk penyelam PPDA, polis bersama sebuah bot, Angkatan Pertahanan Awam (APM) bersama sebuah bot, serta dua buah bot milik orang awam.
Turut digunakan dalam operasi ialah satu jentera FRT, satu EMRS, dua kenderaan utiliti, dan tiga buah bot.