SINTOK, 26 Julai -Setiap pemimpin di semua peringkat sama ada di peringkat kerajaan, masjid, komuniti atau sekolah perlu terlibat secara aktif bersama golongan belia untuk mengatasi masalah penagihan adah yang semakin membimbangkan.
Timbalan Dekan Ghazali Shafie Graduate School of Government, Universiti Utara Malaysia (UUM) Profesor Madya Dr. Kamarul Azman Khamis berkata, golongan belia juga perlu memainkan peranan secara lebih proaktif bagi membendung gejala itu khususnya dalam kalangan remaja.
Pelaksanaan aktiviti atau kempen menjauhi dadah, khususnya di kawasan berisiko tinggi juga digalakkan untuk dilaksanakan dengan penglibatan pertubuhan badan bukan kerajaan (NGO).
"Kita mahukan anak muda bersama-sama dengan kerajaan khususnya, bersama-sama dengan NGO turun ke padang sama-sama membantu membasmi gejala dadah yang semakin berleluasa khususnya.
"Insya-Allah saya yakin dan percaya kepimpinan anak muda, kewibawaan anak muda dapat membantu membasmi masalah gejala dadah khususnya di sekolah-sekolah, universiti dan sebagainya," katanya kepada pemberita, di sini.
Semalam, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika berucap pada Majlis Perasmian Hari Antidadah 2025 di Dataran Bandar Darul Aman, Jitra, Kedah berkata, penyalahgunaan dadah bukan sekadar isu jenayah semata-mata, malah ia merupakan ancaman nyata kepada maruah bangsa dan masa depan negara.